KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh reformasi perundangan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina menerusi kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen meneliti cadangan itu menerusi Belanjawan 2027.
Beliau berkata inisiatif itu merangkumi usaha mengenal pasti undang-undang lapuk, menangani jurang perundangan dan memodenkan undang-undang berkaitan kontrak, jualan barangan serta pengantaraan.
Azalina berkata reformasi Kerajaan MADANI turut merangkumi pengembalian autonomi Parlimen selepas lebih tiga dekad, pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pengenalan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), selain pembaharuan undang-undang bagi memperkukuh hak asasi, perlindungan rakyat dan akses kepada keadilan.
“Reformasi paling bermakna ialah keberanian kerajaan untuk membatasi kuasanya sendiri. Meskipun usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri belum memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen manakala pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih melalui penelitian, tekad Kerajaan Perpaduan MADANI meneruskan reformasi ini kekal utuh dengan menghormati proses demokrasi berparlimen,” katanya.
Menyentuh mengenai kesejahteraan rakyat, beliau menyambut baik tiga inisiatif Belanjawan 2027 bagi memperkukuh Dasar Peluang Kedua, yang telah membantu lebih 250,000 individu keluar daripada kebankrapan sejak 2023.
Inisiatif itu termasuk menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027, memperluas Dasar Peluang Kedua Prihatin kepada penjaga utama ahli keluarga orang kurang upaya, pesakit kronik, warga emas, pekerja gig dan individu berpendapatan tidak tetap serta memperkasa pelepasan automatik daripada kebankrapan seawal tiga tahun di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 bagi individu yang memenuhi syarat.
Azalina turut menyambut baik peluasan pelepasan cukai gaya hidup individu bagi kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat dari pusat berdaftar bagi menggalakkan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.
Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, beliau juga menyambut baik pemilikan penuh Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS bagi memperkukuh keterjaminan bekalan bahan api negara.
Azalina berkata pembangunan Pengerang Biorefinery menerusi kerjasama Enilive, Eni dan Euglena bagi menghasilkan bahan api rendah karbon termasuk bahan api penerbangan mampan, minyak sayuran terhidrogenasi dan bionaphtha turut membuka peluang ekonomi serta pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau juga berkata Belanjawan 2027 membuktikan reformasi bukan sekadar mengubah undang-undang dan institusi tetapi turut membawa manfaat nyata kepada rakyat serta masa depan Malaysia.
-- BERNAMA