Am 09/10/2026 08:34 PM

BBC Sambut Baik Belanjawan MADANI 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
BBC Sambut Baik Belanjawan MADANI 2027
Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyambut baik Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan hari ini, disifatkan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kesejahteraan rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berkata BBC mengalu-alukan peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, serta cadangan menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 serta pengenalan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, merupakan langkah penting untuk menangani isu pendapatan rakyat.

“Pendekatan ini menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI bukan sahaja mahu meringankan beban perbelanjaan, malah turut memperkukuh keupayaan rakyat menjana pendapatan yang lebih bermaruah,” katanya.

Dalam aspek perumahan, Zaliha berkata BBC turut menyambut baik pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil, peruntukan hampir RM1 bilion bagi projek perumahan rakyat termasuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, serta peningkatan peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam kepada RM2.3 bilion.

Beliau berkata Ahli Parlimen BBC akan menggunakan ruang perbahasan untuk meneliti Belanjawan berkenaan, mengetengahkan keperluan rakyat dan mencadangkan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan langkah yang diumumkan.

Zaliha berkata BBC kekal komited menyokong agenda reformasi ekonomi kerajaan, serta memastikan perbahasan dan penelitian Belanjawan MADANI 2027 dapat memperkukuh dasar demi kepentingan rakyat dan negara.

-- BERNAMA