Am 09/10/2026 07:45 PM

Inkues: Ibu Pertikai Catatan Diari Zara Qairina Berunsur Kebencian Terhadapnya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Inkues: Ibu Pertikai Catatan Diari Zara Qairina Berunsur Kebencian Terhadapnya
--fotoFB Awam

KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) -- Ibu Zara Qairina Mahathir hari ini mempertikai kesahihan beberapa catatan diari mengandungi luahan perasaan berunsur kebencian terhadapnya, dan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah melihat pelajar Tingkatan Satu itu menghasilkan penulisan sedemikian.

Noraidah Lamat, 46, berkata catatan itu tidak semestinya ditulis oleh Zara Qairina kerana sesiapa sahaja boleh menghasilkan tulisan sedemikian.

Ketika disoal Pegawai Pengendali Inkues Nahra Dollah mengenai beberapa helaian diari yang dikemukakan sebagai eksibit, beliau tidak bersetuju bahawa catatan mengandungi ungkapan "Aku benci ibu" adalah luahan perasaan Zara Qairina terhadapnya.

"Saya tidak bersetuju kerana saya tidak pernah melihat penulisan Zara Qairina seperti ini," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian remaja itu.

Ketika Nahra mencadangkan bahawa secara logiknya, tiada individu lain mempunyai sebab untuk menulis kata-kata sedemikian selain Zara Qairina, Noraidah tidak bersetuju dan menegaskan bahawa beliau mengenali anaknya serta tidak menolak kemungkinan catatan berkenaan ditulis oleh individu lain.

Dirujuk kepada helaian seterusnya, yang mengandungi nama beliau dan ayat “tidak payah melahirkan aku”, saksi itu sekali lagi tidak bersetuju bahawa catatan berkenaan adalah luahan perasaan Zara Qairina terhadapnya namun mengakui penggunaan bahasa dalam penulisan tersebut kasar.

Ketika disoal mengenai kemungkinan rakan-rakan Zara Qairina menulis catatan itu, Noraidah berkata beliau tidak pernah dimaklumkan bahawa ada antara mereka mempunyai masalah atau menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap dirinya.

Beliau turut mengesahkan bahawa Zara Qairina mempunyai tabiat menulis diari yang kebanyakannya berkisar mengenai persahabatan dan aktiviti harian.

Bagaimanapun, Noraidah berkata beliau tidak pernah membaca catatan yang mengandungi luahan perasaan negatif terhadap dirinya seperti yang dikemukakan dalam prosiding itu.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas remaja itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.

Prosiding inkues bersambung pada 12 Okt ini.

-- BERNAMA