KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan pelbagai peruntukan bagi negeri-negeri untuk memastikan kemajuan yang lebih seimbang serta manfaatnya dapat dinikmati secara munasabah untuk semua rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khazanah dan InvestPenang akan mewujudkan Dana Pelaburan Strategik sejumlah RM100 juta bagi membantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menyediakan RM100 juta untuk membangunkan kolam takungan dan menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir, termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi tempoh 30 tahun akan datang.
“Di Perak, pembangunan LuMIC sebagai hab maritim di Lumut diperhebat bagi menarik pelaburan dan pekerjaan. Automotive Hi-Tech Valley diangkat sebagai hab automotif serantau di Tanjong Malim.
“Potongan cukai ke atas kos penempatan semula sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan mulai 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030, bagi menggalakkan syarikat vendor automotif milik tempatan sepenuhnya memindahkan operasi ke LuMIC dan Automotive Hi-Tech Valley,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata pelaksanaan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) bertujuan menangani kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
Menjelang pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, laluan dan kekerapan bas henti-henti ditambah, kekerapan KTM Komuter ditingkatkan serta perkhidmatan Grab Shuttle disediakan di kawasan tumpuan.
Di Melaka, Projek Pemulihan Sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir.
Selain itu, Melaka Centre of Excellence akan membuka peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah kepada anak Melaka menerusi latihan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasiona (TVET) berteknologi tinggi.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, pembangunan prasarana akan dilengkapkan dengan pembinaan jalan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bandar Enstek; naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak dan pelaksanaan Projek Klang Valley Dual Track 2, katanya.
Dalam pada itu, pembangunan infrastruktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping di Perlis serta Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Agribio Economic Zone akan turut diberi perhatian.
Pelabuhan Darat Perlis juga akan turut dilengkapi mesin pengimbas bagi melancarkan perdagangan dan memperkukuh keselamatan sempadan.
Di Kedah, beliau berkata Kulim Hi-Tech Park menarik pelaburan semikonduktor dunia yang membuka peluang pekerjaan mahir dan peluang perniagaan untuk rakyat negeri itu.
Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah.
Bagi Pahang, sokongan terhadap pembangunan di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meliputi industri berat di Bentong dan perumahan rakyat berhampiran di stesen KotaSAS, Pahang.
Di Kelantan, perancangan Projek Empangan Lebir akan dimulakan sebagai penyelesaian jangka panjang, serta pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan penggantian paip uzur yang sedang berjalan.
“Di Terengganu, produk pelancongan utama dinaik taraf seperti Setiu Wetlands, Tasik Kenyir, Pulau Tenggol dan Pulau Bidong. Pada masa sama, kesejahteraan rakyat diutamakan dengan membina Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di bandar Kuala Terengganu,” katanya.
-- BERNAMA