Am 09/10/2026 06:07 PM

Malaysia Pada Kedudukan Kedua Dunia Minat Carian Micro-credentials - MQA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Pada Kedudukan Kedua Dunia Minat Carian Micro-credentials - MQA
Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran

SEPANG, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan kedua dunia dari segi minat carian berkaitan micro-credentials berdasarkan data Google Trends, mencerminkan peningkatan perhatian terhadap peluang pembelajaran fleksibel dan berasaskan kemahiran di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata perkembangan itu selari dengan peningkatan penawaran micro-credentials oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan serta permintaan industri terhadap kemahiran khusus.

Beliau berkata walaupun kedudukan berdasarkan Google Trends bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut tempoh serta istilah carian, kedudukan Malaysia dalam kelompok teratas menunjukkan minat yang tinggi terhadap pendekatan pembelajaran berkenaan.

“Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan ketara dalam penawaran micro-credentials oleh IPT di Malaysia.

"Perkembangan ini selari dengan keperluan semasa industri yang semakin menekankan kemahiran khusus, selain membuka lebih banyak peluang kepada individu untuk meningkatkan dan melatih semula kemahiran (upskilling dan reskilling),” katanya dalam kenyataan.

Mohammad Shatar berkata perkembangan itu turut menyokong agenda Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk memperkukuh pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata MQA terus memperkukuh ekosistem micro-credentials melalui penyediaan kerangka jaminan kualiti dan mekanisme penyenaraian bagi memastikan penawaran tersebut memenuhi keperluan kualiti yang ditetapkan.

Beliau berkata micro-credentials yang ditawarkan oleh IPT boleh dilaksanakan melalui pendekatan unbundling (pemecahan program kepada modul) daripada program yang telah mendapat akreditasi MQA, selain penawaran secara stand-alone bagi memenuhi keperluan pembangunan profesional, teknikal, akademik dan peribadi.

Pendekatan itu memberikan keanjalan kepada pelajar, pekerja dan masyarakat untuk memilih pembelajaran berdasarkan keperluan serta matlamat masing-masing, manakala micro-credentials yang dikumpulkan juga boleh menyokong laluan ke arah kelayakan akademik melalui mekanisme yang ditetapkan.

“Perkembangan micro-credentials di Malaysia turut mengambil kira perubahan dalam pasaran pekerjaan yang semakin mengutamakan keupayaan seseorang membuktikan kemahiran dan kompetensi yang dimiliki.

“Ini menunjukkan micro-credentials bukan lagi sekadar pelengkap kepada pendidikan formal, sebaliknya semakin penting sebagai instrumen pembangunan bakat yang responsif terhadap perubahan keperluan industri.

“Dengan sokongan berterusan daripada IPT untuk memperluas penawaran micro-credentials berkualiti melalui pendekatan unbundling dan stand-alone, kita optimis Malaysia mampu muncul sebagai hab pendidikan tinggi yang fleksibel, inovatif dan berorientasikan keperluan industri,” katanya.

-- BERNAMA