Am 09/10/2026 01:38 PM

Jerebu: Sekolah Agama Dan IPI Negeri Perak Diarah Pantau Bacaan IPU

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Sekolah Agama Dan IPI Negeri Perak Diarah Pantau Bacaan IPU

IPOH, 9 Okt (Bernama) -- Semua pengurusan sekolah dan Institusi Pendidikan Islam (IPI) Negeri Perak diarahkan sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan tahap pencemaran udara di kawasan masing-masing.

Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama dan IPI Negeri Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua premis IPI yang berada di kawasan mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 hendaklah ditutup bermula hari ini, tertakluk kepada pengesahan bacaan dan arahan pihak berkuasa berkaitan.

Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut pula, premis IPI yang terjejas hendaklah ditutup bermula Isnin 12 Okt 2026, tertakluk kepada pengesahan dan arahan pihak berkuasa berkaitan.

"IPI yang terjejas akibat penutupan hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya bersesuaian. Kaedah pelaksanaan PdPR hendaklah mengambil kira keupayaan, akses dan keperluan murid serta kesediaan guru. 

"Pihak pengurusan institusi hendaklah memastikan pelaksanaan PdPR berjalan secara teratur dan tidak membebankan murid serta guru," menurut kenyataan itu yang dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim ketika dihubungi Bernama.

Kenyataan itu memaklumkan pihak pengurusan sekolah IPI Negeri Perak hendaklah memantau secara berterusan keadaan jerebu di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan sentiasa terpelihara.

Sebarang pelaksanaan peperiksaan, pentaksiran, program rasmi dan aktiviti pendidikan yang dijadualkan sepanjang tempoh jerebu juga hendaklah tertakluk kepada arahan serta garis panduan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan. 

“Pihak pengurusan institusi hendaklah mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkenaan sekiranya terdapat perubahan arahan," menurut kenyataan itu.

Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama dan IPI Negeri Perak turut mengambil maklum dan menjunjung titah serta keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan keselamatan dan kesihatan murid serta guru susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia JAS, lima kawasan di Perak mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 11.30 pagi tadi dengan Tasek Ipoh merekodkan bacaan tertinggi iaitu 186, diikuti Pegoh Ipoh dan Tanjung Malim masing-masing (174), manakala Seri Manjung (159) serta Taiping (125).

-- BERNAMA