BATU KAWAN, 8 Okt (Bernama) — TANAKA MEP Refinery Sdn Bhd hari ini merasmikan majlis pecah tanah untuk kilang penapisan logam bernilai tinggi berharga RM70 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini.
Apabila siap, kilang itu bakal menjadi kilang penapisan logam bernilai tinggi 4N yang pertama di Malaysia, menghasilkan logam berharga pada tahap ketulenan 99.99 peratus, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam teknologi penapisan termaju.
TANAKA MEP Refinery merupakan sebuah syarikat usaha sama antara TANAKA Precious Metal Technologies Co Ltd yang berpusat di Jepun dan MEP Enviro Technology Sdn Bhd yang berpusat di Malaysia.
Pada majlis pecah tanah hari ini, Pengarah MEP Enviro Technology Sean Ong berkata: “Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat untuk mewujudkan rantaian nilai kitar semula logam bernilai tinggi yang lebih lengkap, daripada pemulihan dan penapisan berketulenan tinggi sehinggalah mengembalikan bahan berharga ini ke dalam rantaian bekalan pembuatan.”
Operasi komersial dijangka bermula pada suku pertama 2029. Hasrat syarikat adalah untuk mewujudkan kilang penapisan logam bernilai tinggi yang bertaraf antarabangsa bagi menyokong pengeluaran bahan logam bernilai tinggi dan berketulenan tinggi untuk pelanggan di Malaysia dan di seluruh rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Operasi TANAKA Precious Metal Technologies Tomoyuki Tada berkata kilang itu bakal memperkukuh keupayaan Pulau Pinang dalam pemulihan dan penapisan logam bernilai tinggi. Ia juga akan menyokong industri elektrik dan elektronik serta semikonduktor di rantau ini.
Kemudahan itu juga akan menyumbang kepada rantaian nilai perindustrian yang lebih bersifat kitaran dengan menambah keupayaan penapisan logam bernilai tinggi dan berketulenan tinggi ke dalam ekosistem pembuatan di Pulau Pinang.
Terletak di kawasan seluas tiga ekar, ia bakal mempunyai keluasan binaan 45,000 kaki persegi. Fasa satu yang melibatkan pelaburan sebanyak RM35 juta, menumpukan kepada pengeluaran emas berketulenan tinggi 4N dan kalium emas sianida (PGC), iaitu bahan penting dalam industri elektronik dan semikonduktor.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kemudahan itu bakal memperkukuh keupayaan Malaysia dalam pemulihan dan penapisan logam bernilai tinggi.
Ia juga akan menyokong industri hiliran termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor, kata beliau.
Apa yang lebih penting lagi, kerjasama itu menunjukkan bagaimana pelaburan menyumbang kepada ekosistem pembuatan yang lebih bersepadu dan berteraskan ekonomi kitaran dengan mendapatkan semula bahan bernilai tinggi dan mengembalikannya ke dalam rantaian bekalan perindustrian, katanya.
“MIDA mengalu-alukan pelaburan yang memperkukuh keupayaan perindustrian Malaysia, memperkenalkan aktiviti bernilai tinggi dan mewujudkan rantaian yang lebih kukuh merentasi rantaian bekalan domestik.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan TANAKA MEP Refinery dan rakan kongsi di Pulau Pinang untuk memudah cara pelaksanaan projek ini serta menyokong pertumbuhannya secara jangka panjang di Malaysia,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang turut menghadiri majlis berkenaan berkata emas merupakan bahan input kritikal untuk industri semikonduktor. Ia digunakan bagi menyadur dan menyambung komponen kecil di dalam cip yang dikeluarkan serta dieksport oleh Pulau Pinang ke seluruh dunia.
“Apabila bahan input kritikal perlu merentasi ribuan kilometer untuk sampai ke kilang kita, setiap hubungan dalam rantaian berkenaan merupakan satu titik risiko.
“Kilang penapisan ini akan merealisasikan penyetempatan bahan input kritikal untuk industri kita. Rantaian bekalan yang lebih singkat bermakna penghantaran yang lebih pantas dan kos yang lebih rendah bagi pengilang kita terutamanya apabila dunia bergolak. Dalam keadaan yang tidak menentu, apa yang dihasilkan berdekatan dengan kita membantu memastikan barisan pengeluaran terus beroperasi,” tambahnya.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib merasmikan majlis pecah tanah berkenaan.
-- BERNAMA