Am 08/10/2026 06:44 PM

Pahang Peruntuk RM1.2 Juta Perkasa Pembelajaran al-Quran Braille

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pahang Peruntuk RM1.2 Juta Perkasa Pembelajaran al-Quran Braille
Gambar fail

KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1.2 juta bagi memperkasakan pembelajaran al-Quran Braille, termasuk menyediakan bahan pembelajaran, menganjurkan kursus dan menempatkan naskhah berkenaan di lapan pusat pembelajaran di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Sabariah Saidan berkata inisiatif itu bertujuan memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendapat akses yang lebih luas kepada pembelajaran al-Quran.

“Inisiatif al-Quran Braille ini memerlukan peruntukan besar dan kami telah membelanjakan RM1.2 juta, termasuk untuk mengadakan kursus serta menyediakan bahan pembelajaran.

“Sebanyak 60 naskhah al-Quran Braille, yang setiap satunya bernilai kira-kira RM10,000 telah dibeli untuk ditempatkan di lapan pusat pembelajaran di seluruh Pahang,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran al-Quran Braille Negeri Pahang di Masjid Tepian Putra di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan program yang juga cetusan idea Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu setakat ini melibatkan sekurang-kurangnya 28 tenaga pengajar dan lebih 1,000 pelajar daripada sekolah pendidikan khas.

Sabariah berkata pihaknya percaya dengan sokongan kuat pelbagai agensi, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usaha ini mampu diperluaskan ke seluruh Pahang, sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar OKU penglihatan menerima manfaatnya.

Beliau berkata sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan 10 peratus daripada keseluruhan pelajar yang mengikuti pembelajaran ini celik al-Quran dan dapat membacanya dengan lancar.

“Di samping itu, kami berharap kerjasama daripada pelbagai agensi dan pihak berkepentingan dapat memastikan pembelajaran al-Quran Braille diperluas ke lebih banyak lokasi di Pahang pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA