KOTA BHARU, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti sebarang keputusan dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar akan menentukan sama ada terdapat kes untuk tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang telah dikemukakan.
“Siasatan pun telah selesai dan hasil siasatan telah dihantar kepada AGC dan Peguam Negara akan menentukannya, sama ada ada kes ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas Program Santuni Pesara di Telipot di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata pihaknya kini menunggu keputusan AGC berhubung perkara berkenaan dan tidak dapat mengulas lanjut kerana kes itu telah melalui proses siasatan polis.
Beliau berkata sebarang tindakan selanjutnya hanya dapat ditentukan selepas Peguam Negara membuat keputusan berdasarkan hasil siasatan yang diterima.
Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilapor berkata siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Mohd Khalid berkata setakat ini sebanyak 25 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada 28 Sept lepas.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.
Mohd Shuhaily berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.
-- BERNAMA