CHENOR, 8 Okt (Bernama) -- Agrobank memperluas usaha pembangunan bakat dalam sektor agromakanan menerusi Projek Tanaman Lestari Sorghum dengan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor.
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) Zulkernai Fauzi berkata Agrobank memperuntukkan tanah seluas satu ekar kepada kolej berkenaan sebagai tapak perintis projek tanaman sorghum yang dijangka mampu menampung antara 20,000 hingga 25,000 pokok, bergantung pada jarak tanaman.
“Kita perlu mengejar kepelbagaian dalam makanan. Ini sangat penting kerana kalau beras tidak mencukupi, kita ada sorghum yang boleh dijadikan tepung untuk menghasilkan roti, kuih, biskut dan sebagainya sebagai pilihan makanan,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Projek Tanaman Lestari Sorghum di sini, hari ini.
Zulkernai berkata pembangunan tanaman sorghum turut berpotensi membuka ruang kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Bidang pertanian ini bagus untuk menjadi usahawan kerana ia boleh berkembang. Apabila kita membuka ladang atau menceburi industri sorghum, kita bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi kita juga mencipta pekerjaan kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan berkata pembangunan sektor agromakanan bukan sahaja memerlukan akses kepada pembiayaan, malah generasi baharu yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan minda keusahawanan.
“Melalui projek ini, kami mahu membuka perspektif generasi muda bahawa pertanian hari ini bukan lagi sekadar aktiviti pengeluaran, sebaliknya mempunyai ruang yang luas untuk inovasi, teknologi dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata sorghum merupakan tanaman yang tahan lasak, cekap menggunakan sumber dan mampu bertahan dalam keadaan gersang, sekali gus berpotensi sebagai sumber makanan, makanan haiwan serta komoditi komersial.
“Pelajar akan didedahkan kepada potensi sorghum sebagai sumber bijirin alternatif dan bahan makanan yang boleh diterokai bagi menyokong kesiapsiagaan makanan, selain diajar menghasilkan prototaip produk berasaskan sorghum,” katanya.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)itu selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteraskan teknologi, termasuk melalui pembangunan modal insan.
Beliau berkata bagi memastikan impak projek dapat dinilai, Agrobank bersama rakan pelaksana akan menilai pencapaian program berdasarkan perkembangan pelajar dan hasil projek sepanjang tempoh pelaksanaannya.
-- BERNAMA