Am 08/10/2026 06:06 PM

Tiga Beradik Maut: Tak Percaya Sekolah Tutup, Merengek Mahu Pergi Juga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiga Beradik Maut: Tak Percaya Sekolah Tutup, Merengek Mahu Pergi Juga
Gambar tiga beradik iaitu Nor Daniel Aiman Norlizan, 18,(duduk belakang kiri), Nor Daniel Fikri, 11, (duduk depan kiri) dan Puteri Naufa Raisha, 8, (duduk depan kanan) yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong di sini, pagi tadi. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PONTIAN, 8 Okt (Bernama) -- Tidak percaya sekolah ditutup hari ini akibat jerebu menyebabkan seorang abang tetap membawa dua adiknya ke sekolah dengan motosikal, sebelum ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong di sini, pagi tadi.

Ibu mangsa, Julaiha Munaji, 44, berkata dua anaknya, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisha, 8, tetap mahu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran walaupun telah dimaklumkan sekolah ditutup akibat jerebu.

Dia berkata dua anaknya itu tidak percaya mengenai penutupan itu, malah seorang daripada mereka dikatakan ‘merengek’ mahu ke sekolah sambil mengenakan pakaian sekolah dan menyiapkan kerja sekolah.

Disebabkan itu, abang mereka, Nor Daniel Aiman, 18, akhirnya membawa kedua-dua adiknya menaiki motosikal ke sekolah sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kira-kira 200 meter dari rumah keluarga itu.

“Saya dimaklumkan orang kampung anak-anak terlibat kemalangan, tetapi pada mulanya saya sangka kemalangan biasa. Saya kemudian suruh anak sulung, Nor Daniel Irwan, 22, pergi ke lokasi.

“Apabila Irwan balik, dia menangis dan beritahu Fikri dan Naufa sudah meninggal dunia, manakala Aiman dalam keadaan parah.

“Saya hampir pengsan dengar berita itu dan hanya mampu beristighfar dengan air mata mengalir tanpa saya sedari,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Haji Siraj di sini hari ini.

Julaiha berkata sehari sebelum kejadian, Nor Daniel Fikri sempat membasuh kasut sukan kerana mahu menghadiri latihan bola sepak hari ini bagi persediaan menghadapi pertandingan mewakili sekolah tidak lama lagi.

Dia berkata anak kelimanya itu sangat meminati bola sepak dan bercita-cita mahu pergi lebih jauh dalam sukan tersebut. 

“Pagi tadi dia sudah memakai pakaian sukan kerana tidak mahu tertinggal latihan. Aiman pula sepatutnya akan melanjutkan pelajaran di GiatMARA, tetapi kini hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya sebak.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Hadzrat Hussein Mion Hussain dalam kenyataan berkata kemalangan kira-kira 7.20 pagi itu melibatkan sebuah motosikal Honda ditunggang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama dua pembonceng berusia 11 dan lapan tahun serta sebuah lori Hino.

Beliau berkata motosikal itu dalam perjalanan dari arah Jalan Parit Haji Omar menghala ke Kayu Ara Pasong sebelum dipercayai bertembung dengan lori dari arah bertentangan dengan dua pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.

Semua sekolah di Johor ditutup dua hari bermula hari ini berikutan kemerosotan kualiti udara di negeri ini, melibatkan lebih 1,000 sekolah dan kira-kira 600,000 pelajar.

-- BERNAMA