KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dilantik sebagai Penaung Hospital Aurelius Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
Hospital itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan berkenaan mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh akses kepada penjagaan kesihatan, meningkatkan kesedaran serta kesejahteraan komuniti di Kedah dan kawasan sekitarnya.
Tunku Puteri Intan Safinaz yang berkenan mengadakan kunjungan rasmi ke hospital berkenaan turut menerima taklimat mengenai perkembangan hospital, perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan pakar, selain inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Pada kunjungan itu, baginda turut meluangkan masa beramah mesra dengan pihak pengurusan dan petugas hospital.
Pengarah Urusan merangkap Pengerusi Aurelius Healthcare Group Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata pihak hospital amat berbesar hati dengan pelantikan Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai penaung.
“Hospital Aurelius Alor Setar amat berbesar hati mengalu-alukan Tunku Temenggong Kedah sebagai penaung. Pelantikan Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai penaung amat bermakna kepada seluruh warga hospital.
“Di bawah naungan Tunku Puteri Intan Safinaz, kami berharap dapat memperkukuh peranan kami dalam komuniti serta menyumbang ke arah akses penjagaan kesihatan, kesedaran dan kesejahteraan yang lebih baik untuk rakyat Kedah,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata pelantikan berkenaan akan memperkukuh usaha berterusan hospital untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menjayakan komitmen “Stronger Communities, Healthier Lives”.
Menurut kenyataan itu, pendekatan hospital berkenaan terhadap penjagaan kesihatan bukan sekadar rawatan, malah merangkumi pendidikan, pencegahan, pengesanan awal dan penglibatan bersama komuniti.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi program kesihatan komuniti, aktiviti pendidikan, saringan kesihatan serta pelbagai inisiatif lain, yang bertujuan mendekatkan pengetahuan dan sokongan berkaitan penjagaan kesihatan kepada masyarakat.
Hospital itu turut memperluas perkhidmatannya dan memperkukuh usaha mendekati komuniti sebagai sebahagian daripada langkah memperteguh peranannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan di wilayah utara.
-- BERNAMA