KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti kesesuaian memperkenalkan mekanisme bayaran residual atau perkongsian hasil bagi karya audiovisual bagi memastikan agihan manfaat ekonomi yang lebih adil kepada pelakon.
Kementerian Komunikasi memaklumkan penelitian itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek daya saing, kebolehlaksanaan komersial dan kemampanan industri kreatif negara.
Menurut kementerian itu, tiga aspek utama akan diberi perhatian iaitu perundangan, industri dan pasaran bagi memastikan mekanisme yang dirangka bersesuaian dengan ekosistem industri kreatif tempatan.
“Dari aspek perundangan, penelitian akan menentukan sama ada mekanisme berkenaan wajar dilaksanakan melalui pindaan undang-undang, garis panduan industri atau kontrak standard.
“Dari aspek industri, penelitian akan melihat struktur ekosistem industri kreatif serta model perniagaan semasa, manakala dari aspek pasaran, ia akan mengambil kira amalan platform penstriman dan pengedar antarabangsa,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Kalam Salan (Sabak Bernam) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan mekanisme residual payment atau royalti tayangan semula kepada pelakon Malaysia apabila karya lakonan mereka dieksploitasi secara komersial menerusi televisyen, pawagam, platform penstriman atau pasaran luar negara.
Kementerian Komunikasi memaklumkan penelitian berkenaan turut melibatkan kerjasama FINAS dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Pandangan pihak berkepentingan turut akan diambil kira, termasuk Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFEMA), persatuan pelakon dan persatuan penerbit, bagi memastikan mekanisme yang dirangka mengambil kira kepentingan semua pihak,” menurut kementerian itu.
Pada masa ini, Malaysia belum mempunyai mekanisme khusus bagi bayaran residual kepada pelakon untuk karya audiovisual, manakala imbuhan mereka lazimnya ditentukan berdasarkan terma dan syarat kontrak yang dipersetujui antara pelakon dengan penerbit atau pemegang hak karya.
-- BERNAMA