Am 07/10/2026 09:23 PM

Cabaran Obesiti Di Malaysia Semakin Meningkat, Begitu Juga Pilihan Rawatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cabaran Obesiti Di Malaysia Semakin Meningkat, Begitu Juga Pilihan Rawatan
Obesiti merupakan satu keadaan kronik dan kompleks dan bagi ramai rakyat Malaysia, diet serta senaman sahaja mungkin tidak mencukupi untuk bantu menurunkan berat badan.

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Lebih separuh daripada golongan dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus menunjukkan keperluan terhadap pendekatan yang lebih menyeluruh dalam pengurusan berat badan yang melangkaui perubahan pemakanan dan pengubahsuaian gaya hidup.

 Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Mak Woh Wei berkata intervensi perubatan tambahan termasuk ubat pengurusan berat badan berasaskan glucagon-like peptide-1 (GLP-1) dan pembedahan bariatrik, boleh dipertimbangkan bersama dengan amalan gaya hidup sihat, bergantung pada keadaan individu pesakit.

"Bergantung pada keadaan setiap pesakit, hal ini mungkin merangkumi perubatan antiobesiti berdasarkan bukti seperti rawatan berasaskan GLP-1 atau bagi pesakit dengan obesiti teruk dan memenuhi indikasi yang sesuai ialah pembedahan bariatrik. Rawatan ini, bagaimanapun, bukanlah pengganti kepada amalan gaya hidup sihat.

"Sebaliknya, rawatan ini berfungsi bersama-sama pemakanan, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku untuk membantu pesakit mencapai penurunan berat badan yang lebih ketara dan berkekalan serta membaiki keadaan seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, apnea tidur dan risiko kardiovaskular," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mak berkata GLP-1 ialah hormon yang dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh, terutamanya selepas seseorang makan. Antara peranannya ialah membantu mengawal selera, pengambilan makanan dan paras gula dalam darah.

"Ubat yang bertindak pada laluan GLP-1 pada asasnya meningkatkan kesan ini yang membantu seseorang berasa kenyang lebih lama, mengurangkan rasa lapar dan keinginan untuk makan, serta memperlahankan pergerakan makanan dari perut ke usus.

"Selain itu, ubat ini juga membantu tubuh mengawal glukosa darah dengan meningkatkan rembesan insulin apabila paras glukosa meningkat dan mengurangkan pembebasan glukagon yang tidak sepatutnya," katanya.

Dr Mak berkata ubat berkenaan bukan penyelesaian segera untuk menurunkan berat badan dan hanya dipertimbangkan untuk individu yang memenuhi kriteria tertentu bagi pengurusan berat badan. Faktor seperti indeks jisim badan (BMI) pesakit, keadaan terkini pesakit, ubat-ubatan lain, sejarah perubatan dan matlamat rawatan juga diambil kira.

Beliau berkata rawatan itu perlu dipantau secara perubatan dengan dos diselaraskan secara beransur-ansur berdasarkan tindak balas dan toleransi pesakit yang mungkin mengalami kesan samping seperti mual, muntah, cirit-birit, sembelit, ketidakselesaan pada perut atau berasa terlalu kenyang, khususnya ketika memulakan rawatan atau meningkatkan dos.

"Inilah sebabnya ubat-ubatan ini tidak sepatutnya dimulakan atau diselaraskan tanpa pengawasan perubatan. Pemantauan membolehkan kami menilai tindak balas pesakit, mengurus kesan sampingan, menyemak ubat-ubatan lain dan menentukan sama ada rawatan itu masih sesuai," katanya.

Dr Mak berkata pengambilan ubat berkenaan di bawah pengawasan doktor ialah pendekatan yang lebih selamat berbanding pengambilan sendiri melalui saluran tidak rasmi, yang mungkin terdapat risiko seperti penyimpanan tidak betul, pencemaran, produk tiruan dan dos yang tidak sesuai.

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Am dan Gastrointestinal (GI) Atas SMCV Dr S. Mohanarajah berkata pembedahan bariatrik boleh dipertimbangkan apabila rawatan bukan pembedahan tidak menghasilkan penurunan berat badan yang mencukupi atau bertahan lama, atau penambahbaikan dalam penyakit berkaitan obesiti dan apabila BMI pesakit dan risiko kesihatan pesakit menunjukkan bahawa potensi manfaatnya melebihi risiko.

Beliau berkata penilaian tidak berdasarkan BMI semata-mata, sebaliknya doktor turut mempertimbangkan faktor lain seperti tahap dan tempoh obesiti, percubaan menurunkan berat badan termasuk penggunaan ubat yang sesuai, kawalan diabetes dan komorbiditi lain, tingkah laku pemakanan, status kesihatan mental, penyalahgunaan alkohol atau bahan terlarang dan keupayaan pesakit mematuhi rawatan susulan, di samping saranan pengambilan suplemen vitamin dan saranan gaya hidup.

Dr Mohanarajah berkata dua prosedur bariatrik yang lazim dilakukan ialah gastrektomi lengan dan pintasan gastrik Roux-en-Y, yang berfungsi melalui mekanisme berbeza bagi mengehadkan pengambilan makanan dan menghasilkan perubahan metabolik.

"Bagi prosedur gastrektomi lengan, kira-kira 70 ke 80 peratus perut dibuang secara kekal, meninggalkan perut berbentuk tiub yang sempit," katanya.

Prosedur itu berfungsi dengan mengehadkan pengambilan makanan, mengubah hormon selera makan dan menghasilkan perubahan metabolik yang boleh memperbaik paras glukosa dalam darah dan keadaan berkaitan obesiti yang lain. Yang penting, usus tidak dipintas, maka tiada malpenyerapan usus yang disengajakan. Pembedahan itu tidak boleh diterbalikkan kerana sebahagian perut telah dibuang.

"Pintasan gastrik Roux-en-Y pula berfungsi melalui sekatan dan kesan terhadap usus dan metabolisme. Pakar bedah membentuk kantung perut yang kecil dan menyambungkannya terus ke bahagian bawah usus kecil. Oleh itu, makanan memintas sebahagian perut dan bahagian pertama usus kecil.

"Jus pencernaan kemudian bercampur dengan makanan di bahagian usus yang lebih jauh. Hal ini bermakna jumlah makanan yang boleh diambil pada satu-satu masa telah berkurangan, dan sesetengah kalori dan nutrien diserap secara berbeza kerana makanan memintas sebahagian usus kecil.

"Perubahan hormon dan isyarat dalam usus boleh memberikan kesan ketara terhadap rasa lapar, kenyang dan metabolisme glukosa dan keadaan ini amat berkesan untuk diabetes jenis 2 dan sering memperbaik refluks gastroesofagus," katanya.

Dr Mohanarajah berkata pembedahan bariatrik, walaupun secara amnya selamat apabila dilakukan di hospital yang berpengalaman, tetap merupakan pembedahan besar dengan risiko pembedahan jangka pendek dan kesan pemakanan dan metabolik sepanjang hayat, termasuk komplikasi awal seperti pendarahan, kebocoran, jangkitan kuman atau pembentukan abses, darah beku, komplikasi berkaitan bius dan kardiopulmonari, usus tersumbat dan kekurangan nutrien, iaitu zat besi, vitamin B12, folat, vitamin D, kalsium, tiamin (vitamin B1) dan protein.

Beliau berkata pesakit secara amnya memerlukan pengambilan suplemen vitamin dan mineral sepanjang hayat serta ujian darah secara berkala selepas pembedahan bariatrik kerana kekurangan nutrien yang teruk kadangkala boleh menyebabkan komplikasi neurologi atau tulang.

Sama ada melalui ubat GLP-1 atau pembedahan bariatrik, rawatan obesiti pada akhirnya adalah untuk meningkatkan kesihatan, bukan sekadar mengurangkan berat badan. Penurunan berat badan yang bermakna boleh membaiki keadaan berkaitan obesiti termasuk diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tidak normal dan apnea tidur obstruktif.

Dr Mohanarajah berkata rawatan obesiti moden bukan pendekatan "satu kaedah untuk semua" kerana sesetengah pesakit hanya memerlukan intervensi gaya hidup, manakala yang lain mungkin mendapat manfaat daripada ubat-ubatan atau pembedahan bergantung pada tahap obesiti dan komplikasi berkaitan.

"Yang penting ialah memulakan perbincangan, menjalani penilaian yang sewajarnya dan memilih pelan rawatan yang boleh diamalkan untuk jangka panjang. Obesiti boleh dirawat dan anda tidak perlu menguruskannya seorang diri," katanya.

-- BERNAMA

 

Nombor Kelulusan KKLIU: KKLIU: 3966 / EXP 31.12.2028