KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Lebih 1,800 pesilat dari dalam dan luar negara bakal berentap pada Kejuaraan Silat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Piala Sport School Junior Fighter (SSJF) 3.0 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini dari 14 hingga 19 Okt ini.
Kejohanan anjuran Kelab Silat Olahraga Wira Titiwangsa (KSOWT) menerusi inisiatif SSJF itu mempertandingkan dua cabang utama, iaitu Jurus (Seni) dan Tanding (Olahraga).
KSOWT dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu menghimpunkan pesilat dari lebih 10 negeri, selain penyertaan pasukan antarabangsa termasuk dari Indonesia, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.
Menurut kenyataan itu, Piala SSJF 3.0 bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah berperanan sebagai platform pembangunan bakat muda dengan menggabungkan elemen sukan, pendidikan dan budaya.
“Kejohanan ini juga memberi pendedahan pertandingan kepada pesilat yang masih bersekolah, selain membuka peluang kepada mereka memperoleh pengiktirafan penyertaan yang boleh menyumbang kepada rekod Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada ketetapan serta pengiktirafan pihak berkuasa pendidikan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA