Am 07/10/2026 02:26 PM

Editor Kanan Makkal Osai Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Editor Kanan Makkal Osai Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mendengar penerangan daripada waris kepada Editor Kanan Makkal Osai, Rajan Boopalan, 68, yang kini dirawat di Hospital Selayang akibat komplikasi tekanan darah tinggi hari ini. Dalam kunjungan itu, Teo turut menyampaikan sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM bagi meringankan beban dan memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarga. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Editor Kanan akhbar Makkal Osai, Rajan Boopalan yang kini dirawat di Hospital Selayang akibat komplikasi tekanan darah tinggi, menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM.

Sumbangan tanda keprihatinan dan sokongan moral itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang melawat wartawan veteran berkenaan di hospital hari ini, dengan bantuan diserahkan kepada isterinya, A. Saraswathi.

Teo berkata Rajan, 68, merupakan pengamal media berdedikasi yang telah menabur bakti selama 45 tahun dalam industri kewartawanan tempatan, termasuk 15 tahun berkhidmat dengan akhbar berbahasa Tamil itu.

"Beliau dibawa ke hospital pada 8 Sept lepas setelah terjatuh di dalam tandas akibat komplikasi tekanan darah tinggi. Beliau yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (CCU) kini sudah dipindahkan ke wad biasa pada Jumaat lepas.

"Jadi, hari ini saya bersama dengan pengurusan Bernama membuat kunjungan ziarah bagi menyampaikan sedikit bantuan kepada ahli keluarganya menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA," katanya kepada pemberita selepas melawat veteran media berkenaan.

Kunjungan itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.  

Rajan sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan salur darah di kepalanya pecah.

Beliau kemudian menjalani prosedur pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dan keadaannya kini dilaporkan stabil bagi menerima rawatan susulan.

Mengulas perkembangan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, Teo berkata setakat hari ini, sebanyak 253 pengamal media telah menerima manfaat daripadanya dengan jumlah sumbangan yang disalurkan bernilai RM770,300.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan penerima pada tahun ini, 42 orang ialah pengamal media daripada agensi media berbahasa Tamil.

Tabung Kasih@HAWANA X TM ialah peluasan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM), bagi membantu lebih ramai pengamal media yang berdepan dengan kesulitan dan memerlukan sokongan.

Sejak bantuan menerusi kerjasama itu mula disalurkan pada Jun 2026, sebanyak 89 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

Secara keseluruhan, sejak Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023, sejumlah 859 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA