Am 07/10/2026 03:41 PM

Majlis Perkhidmatan Parlimen Perkukuh Fungsi Semak Dan Imbang - Azalina

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Majlis Perkhidmatan Parlimen Perkukuh Fungsi Semak Dan Imbang - Azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika mengadakan sidang media berkaitan pelaksanaan halatuju institusi Parlimen setelah Akta Perkhidmatan Parlime 2025 berkuat kuasa 1 Oktober 2026 di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen bakal mengurangkan tekanan yang dihadapi pegawai Parlimen ketika melaksanakan tugas berkaitan fungsi semak dan imbang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, pegawai yang memilih untuk berkhidmat di bawah Perkhidmatan Parlimen tidak lagi tertakluk kepada struktur pentadbiran perkhidmatan awam, sebaliknya akan mempunyai struktur pengurusan tersendiri di bawah Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Beliau berkata perubahan itu dijangka dapat mengurangkan kebimbangan pegawai Parlimen ketika membantu Jawatankuasa Pilihan memanggil individu yang berjawatan tinggi dalam perkhidmatan awam untuk memberikan keterangan atau maklumat.

“Dulu, apabila pegawai kerajaan yang bertugas di Parlimen memanggil ketua jabatan lain untuk hadir memberi keterangan, timbul rasa takut kalau-kalau tindakan itu menyebabkan mereka ditukarkan ke tempat lain sebab mereka masih di bawah bos (perkhidmatan awam) yang sama.

“Namun dengan adanya Majlis Perkhidmatan Parlimen ini, bos mereka ialah Speaker. Pengurusannya berasingan, jadi tekanan pegawai dapat dikurangkan dan Jawatankuasa Pilihan boleh menjalankan fungsi semak dan imbang dengan lebih berani,” katanya pada sidang media mengenai hala tuju institusi Parlimen selepas pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di Bangunan Parlimen hari ini.

Selain itu, Azalina berkata Majlis Perkhidmatan Parlimen turut mempunyai kuasa untuk mewujudkan badan penggubalan undang-undang sendiri bagi mengurangkan kebergantungan Parlimen kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata badan penggubalan itu akan membantu Ahli Parlimen, sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang, dalam meneliti, meminda dan mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Persendirian.

“Selama ini, semua penggubalan RUU dibuat oleh AGC. Dengan skim baharu di bawah majlis ini, pegawai penggubal Parlimen sendiri akan membantu Ahli Parlimen meneliti fasal-fasal undang-undang yang dipertikaikan dalam perbahasan. Ini adalah pengasingan kuasa yang sebenar,” katanya.

Azalina ketika mengulas mengenai status perkhidmatan kakitangan sedia ada berkata Majlis Perkhidmatan Parlimen akan menentukan struktur pelantikan serta skim perkhidmatan bagi mereka yang memilih untuk berkhidmat di bawah Perkhidmatan Parlimen.

“Setakat ini, petugas-petugas seperti bentara Parlimen telah membuat keputusan untuk berkhidmat di bawah Perkhidmatan Parlimen manakala jawatan lain seperti pustakawan dan pentadbir sedang dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Azalina berkata cadangan keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pada 13 Okt ini, yang terdiri daripada Yang Dipertua dan Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta wakil daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Okt lepas, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen, 34 tahun selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.

-- BERNAMA