GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 21 aduan berkaitan isu kualiti petrol RON95 di negeri itu, susulan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah selepas mengisi minyak di stesen tertentu.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata kesemua aduan itu telah diambil tindakan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah yang dilaporkan.
“Pegawai penyiasat KPDN juga telah membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua pihak, iaitu stesen minyak yang diadu serta pemilik kenderaan yang membuat aduan berhubung perkara itu.
“Sampel bahan api daripada kedua-dua pihak juga telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi menentukan sama ada terdapat unsur air, diesel atau unsur-unsur lain dalam petrol RON95,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata KPDN ketika ini masih menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia, selain akan terus memantau perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta keputusan analisis yang diterima.
Pada Ahad lepas, KPDN Pulau Pinang mengesahkan pemeriksaan awal pihaknya tidak menemukan sebarang tanda kehadiran air di dalam tangki simpanan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Batu Kawan, seperti dakwaan yang tular di media sosial.
Isu itu dibangkitkan selepas beberapa pengguna mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah, termasuk gagal dihidupkan selepas mengisi minyak di beberapa stesen minyak di Pulau Pinang.
-- BERNAMA