PASIR GUDANG, 7 Okt (Bernama) -- Johor Port Bhd (Johor Port), ahli kumpulan MMC, sedang giat meneroka peluang bersama PT Pelabuhan Indonesia (Persero) Regional 1 Belawan untuk mewujudkan koridor perdagangan maritim lebih kukuh, menghubungkan Belawan di Sumatera Utara dengan Johor.
Menurut kenyataan dikeluarkan Johor Port, koridor perdagangan Belawan-Johor dicadangkan itu akan memudahkan pergerakan kargo yang lancar, meluaskan akses pasaran, serta memperkukuh hubungan perdagangan dan daya tahan rantaian bekalan antara Malaysia dan Indonesia,
"Peluang ini melangkaui sekadar menghubungkan kedua-dua pelabuhan. Ia bertujuan merapatkan hubungan antara perniagaan dan pasaran, mewujudkan laluan perdagangan lebih cekap serta memperkukuh rantaian bekalan serantau," kata Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Md Derick Basir.
Menurut beliau, menerusi kerjasama erat dengan Pelindo dan pihak berkepentingan industri serantau, kedua-dua pihak berhasrat mengenal pasti peluang perdagangan praktikal yang memberikan nilai kepada perniagaan di Sumatera Utara dan Johor.
Ia merupakan langkah strategik untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, katanya.
Inisiatif tersebut dibincangkan semasa lawatan delegasi Johor Port ke Pelabuhan Belawan pada awal September, 2026, diadakan bersempena dengan Program Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) 2026 di Medan.
Antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Eksekutif Regional 1 PT Pelabuhan Indonesia (Persero), Jonedi Ramli dan Pengurus Besar Eksekutif Pelindo Regional 1 Belawan, Yusrizal, Ketua Ketua Kamar Dagang dan Industri (KADIN) Kota Dumai, Zulfan Ismaini; Ketua Jabatan Komersial Kontena Johor Port, Raj Nadarajan; serta Pengurus Kanan (Urus Niaga) Pejabat Wilayah BRI Medan, Hanafi Ginting.
Pelabuhan Belawan merupakan pintu masuk utama ke kawasan pedalaman Sumatera Utara. Johor Port pula menawarkan ketersambungan ke pasaran Malaysia lebih luas serta rangkaian perkapalan intra-Asia yang mantap, menurut kenyataan itu.
Sambungan dicadangkan itu akan menyokong pelbagai sektor perdagangan, termasuk pembuatan, produk pengguna, kargo perindustrian dan komoditi pukal, ia juga selaras dengan strategi Johor Port untuk meluaskan jangkauan komersialnya melangkaui sempadan geografi tradisinya.
Pengendali pelabuhan pelbagai guna itu menyatakan bahawa kedua-dua entiti akan terus berbincang dengan syarikat perkapalan, pemilik kargo, dan penyedia logistik bagi mengenal pasti aliran kargo yang optimum serta mewujudkan rangka kerja perkhidmatan yang mampan dari segi komersial.
Johor Port mengendalikan kemudahan seluas 1,000 ekar dengan 24 dermaga serta kawasan seluas 660 ekar berstatus zon bebas di Pasir Gudang, mencatatkan jumlah pengendalian kontena tertinggi dalam sejarahnya sebanyak 1.08 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2025.
Ia kekal sebagai terminal minyak makan tunggal terbesar di dunia serta hab serantau utama bagi kargo London Metal Exchange, baja, simen, beras, dan koko.
-- BERNAMA