Am 07/10/2026 09:39 AM

SPR Adakan Mesyuarat Khas Hari Ini, Tentukan Tarikh Penting PRN Melaka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPR Adakan Mesyuarat Khas Hari Ini, Tentukan Tarikh Penting PRN Melaka

MELAKA, 7 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sebuah hotel di Jalan Bendahara di sini hari ini.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun itu dijadual bermula 10 pagi, sebelum satu sidang media diadakan sejurus selesai mesyuarat berkenaan.

Sidang media tersebut diadakan bagi mengumumkan tarikh penting PRN Melaka termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan undi awal, hari pengundian dan tempoh berkempen serta maklumat mengenai lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Pada 22 Sept lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berkuat kuasa pada 23 Sept bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.

PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan seterusnya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.

-- BERNAMA