KUALA TERENGGANU, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu bercadang meningkatkan kekerapan pengangkutan sampah dari Pulau Redang ke tanah besar daripada dua hari sekali kepada setiap hari bagi menangani isu timbunan sampah di pulau peranginan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata cadangan itu antara perkara yang diberi perhatian dalam lawatan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke Pulau Redang.
"Lawatan di sekitar Pulau Redang ini menumpukan perhatian kepada isu-isu berkaitan pengurusan sisa pepejal, termasuk insinerator yang ada serta caranya berfungsi.
"Kita juga melihat projek rumah sampah yang sedang dalam pembinaan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan dijangka siap dalam sedikit masa lagi. Insya-Allah, selepas ini isu timbunan sampah tidak akan berlaku lagi di Pulau Redang," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Wan Sukairi berkata taklimat berkaitan pengurusan sampah turut disampaikan oleh MBKT, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pihak berkaitan termasuk pengusaha chalet serta pusat peranginan di Pulau Redang.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil maklum isu berkaitan saliran di pulau itu dan akan meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikannya.
"Insya-Allah, dengan input-input yang telah diperoleh dan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan, ia dapat menyelesaikan masalah berkaitan sisa pepejal atau isu sampah di Pulau Redang.
"Hal ini termasuklah isu berkaitan saliran dan sebagainya yang ada di Pulau Redang. Kerajaan negeri mengambil maklum dan melihat kaedah serta cara terbaik untuk penyelesaian," katanya.
Sementara itu, UPEN dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja Menteri Besar bersama dengan ahli MMKN itu bertujuan meninjau keadaan semasa kemudahan pengurusan sisa pepejal dan kumbahan serta meneliti keperluan penambahbaikan serta penyelesaian isu pembuangan sisa di pulau berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri komited untuk menangani isu pengurusan sisa kumbahan di Pulau Redang selain beberapa pilihan penyelesaian sementara dan jangka panjang telah dikenal pasti, diteliti serta sedang dihalusi bagi menentukan pendekatan yang sesuai.
"Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pengusaha resort bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan. Pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian Pulau Redang akan terus menjadi keutamaan, di samping memastikan keselesaan pengunjung," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA