Wayang kulit adalah antara seni warisan yang kian malap, dan tidak mustahil jika suatu hari nanti persembahan teater bayang ini yang dahulunya begitu popular di pantai timur, utara dan selatan tanah air, akan tinggal sebagai catatan dalam dokumentasi sejarah negara.
Bahagian terakhir laporan khas empat artikel ini mengulas pandangan pakar untuk seni ini terus bertahan di masa akan datang.
Kisah sebuah keluarga Cina Peranakan Kelantan mempertahankan warisan wayang kulit, ketelitian seorang pengukir menghidupkan watak daripada kepingan kulit lembu serta kesungguhan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi pelapis baharu membuktikan seni tradisional itu masih hidup.
Namun di sebalik kisah berkenaan, mampukah wayang kulit kekal relevan dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, perubahan gaya hidup dan cita rasa generasi baharu?
Bagi pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Mohd Aswawi Isa, jawapannya bergantung pada sejauh mana masyarakat bersedia melihat wayang kulit sebagai khazanah budaya yang perlu dipelihara, bukan sekadar persembahan tradisional.
“Wayang kulit bukan sekadar hiburan. Persembahan ini menggabungkan seni muzik, seni ukiran, seni bahasa, penceritaan dan budaya masyarakat Melayu.
“Semua elemen itu menjadikan wayang kulit sebagai satu gedung budaya yang perlu dipelihara dan diperkasakan mengikut keperluan semasa,” katanya kepada Bernama.
Ujarnya, suatu ketika dahulu persembahan wayang kulit menjadi medium penyatuan masyarakat apabila penduduk kampung bergotong-royong membina bangsal dan menyediakan jamuan sepanjang beberapa hari berlangsungnya persembahan.
Namun, katanya, semangat kebersamaan itu semakin terhakis apabila masyarakat hari ini kian jauh daripada budaya tradisional.
PERSEPSI MASYARAKAT PERLU BERUBAH
Mohd Aswawi berkata antara persepsi negatif yang masih wujud dalam sesetengah masyarakat ialah wayang kulit dianggap tidak mempunyai masa depan, sekadar membuang masa dan tidak mampu menjamin kehidupan, selain ada yang menganggap seni berkenaan haram dimainkan atas faktor agama.
Katanya persepsi sedemikian turut menyebabkan sebahagian penggiat berasa tawar hati dan akhirnya meninggalkan seni warisan berkenaan, sedangkan wayang kulit tidak menjadi haram sekiranya persembahan dilaksanakan mengikut syarak serta tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Selain itu, semakin sukar mencari tok dalang yang mampu mengolah cerita mengikut isu semasa di samping kekurangan pemuzik dan pembuat alat muzik tradisional.
“Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti wayang kulit hanya tinggal sebagai rakaman digital di platform seperti YouTube,” katanya.
Senada, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rohaniza Abdullah yang menyifatkan perkembangan wayang kulit di negeri itu sebagai agak suram walaupun pelbagai usaha pemuliharaan terus dilaksanakan.
Menurut beliau, keadaan itu bukan berpunca daripada ketiadaan usaha, sebaliknya dipengaruhi beberapa kekangan termasuk peluang persembahan yang terhad, kekurangan pelapis serta bilangan kumpulan wayang kulit yang masih aktif.
Katanya wayang kulit perlu terus dibawa kepada masyarakat melalui persembahan secara konsisten, sama ada dalam skala besar atau kecil, supaya seni warisan itu tidak semakin dipinggirkan.
PENGGIAT MAHU LEBIH BANYAK PELUANG PERSEMBAHAN
Mengakui peluang mengadakan persembahan berkurang, Pengerusi Persatuan Wayang Kulit Pija Titir Mas, Mohammad Hafiza Che Ya mendedahkan kekangan mendapatkan permit persembahan serta kekurangan pelapis baharu sebagai antara cabaran utama dalam memastikan seni warisan itu terus lestari.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Chu, berkata walaupun minat masyarakat terhadap wayang kulit masih tinggi, peluang mengadakan persembahan khususnya di kampung semakin berkurang berbanding dahulu.
“Kalau dari segi penonton ataupun yang berminat, masih ramai lagi. Cuma cabarannya sekarang adalah untuk mendapatkan permit persembahan daripada pihak berkenaan. Memang lebih sukar berbanding dahulu,” katanya.
Beliau berkata persembahan wayang kulit kini dilaksanakan mengikut garis panduan syariah tanpa lagi mengamalkan unsur pemujaan yang pernah dikaitkan dengan seni itu.
Malah, katanya, persembahan hari ini juga disesuaikan dengan perkembangan semasa tanpa mengorbankan identiti asal wayang kulit.
“Kalau ada kempen atau program tertentu, kita akan masukkan mesej itu dalam dialog dan persembahan. Kita ikut isu semasa, tetapi disampaikan dalam bentuk wayang kulit,” katanya.
Beliau berkata ketika ini hanya tiga tok dalang senior masih aktif di sekitar Kota Bharu, manakala tiga lagi pelapis sedang menjalani latihan.
“Saya bimbang kalau tidak ada usaha berterusan, dalam tempoh beberapa tahun akan datang seni ini akan semakin mengecil walaupun mungkin tidak pupus sepenuhnya,” katanya.
TEKNOLOGI JADI PEMANGKIN
Sementara itu, dalam usaha memastikan wayang kulit terus relevan, Mohd Aswawi berkata UMK memperkenalkan pelbagai inovasi termasuk penggunaan mesin “CNC laser cutter” bagi mempercepat proses membuat patung.
“Jika sebelum ini satu set patung mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk disiapkan, teknologi itu mampu mengurangkan tempohnya kepada kira-kira seminggu tanpa mengubah reka bentuk asal,” kongsinya.
Selain itu, UMK turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mendokumentasikan irama muzik tradisional serta menterjemahkan dialog wayang kulit daripada dialek Kelantan kepada bahasa Melayu standard dan bahasa lain.
Beliau yakin pendekatan itu mampu memperluas pemahaman masyarakat luar terhadap seni warisan berkenaan.
Di samping menawarkan kursus teater tradisional dan pembuatan alat muzik, universiti itu turut bekerjasama dengan komuniti bagi melahirkan lebih ramai penggiat dan usahawan seni budaya.
BERUBAH TANPA HILANG IDENTITI
Mohd Aswawi bagaimanapun mengakui wayang kulit berdepan cabaran besar untuk menarik minat generasi muda.
Justeru, katanya, persembahan perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa menerusi penggunaan media sosial, visual yang lebih menarik serta kandungan yang dekat dengan kehidupan masyarakat tanpa mengorbankan identiti asalnya.
“Kita boleh membawa pembaharuan, tetapi watak utama, struktur persembahan dan identiti wayang kulit mesti dikekalkan.
“Kalau semuanya diubah sehingga hilang identitinya, masyarakat tidak lagi mengenali bentuk asal wayang kulit itu sendiri,” tegasnya.
Beliau juga berpendapat media sosial seperti TikTok, YouTube dan Instagram kini menjadi medium penting untuk memperluas capaian persembahan wayang kulit kepada generasi muda.
Pandangan itu turut dikongsi Rohaniza yang berkata usaha menarik minat golongan muda memerlukan pendekatan lebih kreatif dan interaktif selaras dengan perubahan zaman.
Katanya, penggunaan media sosial, visual yang lebih menarik serta penerapan isu semasa dalam persembahan mampu mendekatkan wayang kulit dengan generasi muda tanpa menjejaskan keaslian seni warisan itu.
Rohaniza bagaimanapun menegaskan pembaharuan tidak seharusnya mengubah watak utama dan struktur asal persembahan sehingga menghilangkan identiti wayang kulit.
“Pembaharuan boleh dilakukan mengikut peredaran zaman, tetapi elemen tradisional mesti dikekalkan supaya masyarakat masih mengenali identiti sebenar wayang kulit,” katanya.
JKKN PERKASA USAHA PEMULIHARAAN
Rohaniza berkata usaha memelihara wayang kulit dilaksanakan secara menyeluruh menerusi tiga teras utama, iaitu pemuliharaan, pembangunan dan promosi.
Katanya pendekatan itu diterjemahkan menerusi penganjuran festival, persembahan berkala, bengkel, kursus, program pendidikan seni budaya serta pendokumentasian persembahan dan teknik pembuatan patung wayang kulit bagi memastikan warisan tersebut terus dipelihara dan dapat dirujuk oleh generasi akan datang.
Menurut beliau, program perantisan berkonsepkan mentor-menti yang dilaksanakan sejak 2009 berjaya melahirkan tok dalang, pemuzik dan pembuat patung wayang kulit dalam kalangan generasi muda di bawah bimbingan tokoh serta penggiat berpengalaman.
JKKN turut menganjurkan bengkel kemahiran khusus bagi menghasilkan patung wayang kulit selain menggalakkan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) menganjurkan persembahan serta aktiviti berkaitan seni tradisional itu.
Katanya, jabatan itu juga bekerjasama dengan IPT menjalankan penyelidikan, menghasilkan penulisan ilmiah serta menyediakan platform persembahan untuk penggiat, di samping membantu mereka mendapatkan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi memperkukuh pembangunan seni budaya.
Selain itu, JKKN terus memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, IPT dan komuniti menerusi pameran, bengkel serta persembahan bagi memperluas pendedahan wayang kulit dalam kalangan generasi muda.
Rohaniza berkata usaha Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu yang melibatkan seluruh ahli keluarga juga wajar dicontohi kerana membuktikan institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu dan kemahiran seni warisan itu dapat diwariskan secara turun-temurun.
PENONTON, PELANCONG BUKTI WAYANG KULIT MASIH MENDAPAT TEMPAT
Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi penggiat, dengan sokongan usaha berterusan institusi memartabatkan wayang kulit, seni warisan itu masih berjaya memikat hati masyarakat tempatan dan pelancong asing yang menyaksikan sendiri keunikan persembahannya.
Bagi penjawat awam Nik Mohd Azlan Nik Ahmad, 30, dia berasa tersentuh setiap kali menyaksikan bayang-bayang patung wayang kulit menari di sebalik kelir, diiringi alunan serunai dan paluan gendang.
“Walaupun saya anak tempatan yang dibesarkan dengan seni ini, rasa kagum terhadap wayang kulit tidak pernah pudar. Kehebatan tok dalang menghidupkan pelbagai watak seorang diri membuktikan betapa tingginya nilai estetika warisan kita.
“Ini bukan sekadar hiburan zaman dahulu, tetapi identiti dan jiwa rakyat Kelantan yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Bagi pelancong dari Australia, Chloe Grace, 45, persembahan wayang kulit menawarkan pengalaman budaya yang sukar ditemukan di tempat lain.
“Saya benar-benar terpegun. Sungguh luar biasa bagaimana kepingan kulit yang diukir halus mampu menghasilkan penceritaan yang begitu hidup hanya menerusi permainan cahaya dan bayang.
“Alunan muzik tradisionalnya pula seolah-olah membawa saya ke alam lain. Ini antara pengalaman budaya paling unik yang pernah saya alami,” katanya.
Kehadiran penonton tempatan dan pelancong asing membuktikan wayang kulit masih berupaya merentasi batas usia, budaya dan negara, sekali gus mempunyai potensi besar untuk terus diperkasakan sebagai produk pelancongan budaya yang mampu memperkenalkan identiti Kelantan ke persada antarabangsa.
WARISAN YANG MASIH MEMPUNYAI HARAPAN
Empat kisah yang dipaparkan dalam siri rencana ini memperlihatkan kelangsungan wayang kulit tidak bergantung pada seorang individu, sebaliknya lahir daripada kesungguhan ramai pihak yang memainkan peranan masing-masing.
Daripada keluarga Kang Boon Ann yang mempertahankan warisan itu merentasi generasi, ketelitian menghasilkan setiap patung daripada kulit lembu, dedikasi tok dalang Mohammad Hafiza menghidupkan setiap persembahan, kesungguhan pelapis muda Nik Imanuddin Hadeef mempelajari seni itu, hinggalah usaha UMK dan JKKN memperkasa pemuliharaan menerusi pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, semuanya membentuk satu ekosistem yang saling melengkapi.
Sokongan masyarakat, keterujaan penonton tempatan dan minat pelancong asing pula menjadi petunjuk bahawa wayang kulit masih mempunyai tempat dalam dunia moden sekiranya terus dipelihara dan diperkasakan mengikut peredaran zaman.
Selagi masih ada tok dalang yang sanggup berkongsi ilmu, pengukir yang tekun menghasilkan setiap watak, keluarga yang mewariskan kemahiran kepada generasi seterusnya, institusi yang terus memperkasakan usaha pemuliharaan serta masyarakat yang tidak jemu menghargai setiap persembahan, selagi itulah wayang kulit Kelantan akan terus hidup sebagai warisan budaya yang merentasi zaman, bukannya sekadar tinggalan sejarah.