Am 07/10/2026 10:50 AM

Jerebu: 35 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat Setakat 10 Pagi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: 35 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat Setakat 10 Pagi

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sebanyak 35 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Batu Pahat, Johor dan Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu masing-masing 190, diikuti Cheras, Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan masing-masing 189 serta Putrajaya (187).

IPU tidak sihat turut dicatatkan di beberapa kawasan di Selangor iaitu Shah Alam (180), Petaling Jaya (176), Banting (176) dan Klang (169) serta Batu Muda di ibu negara dengan bacaan 177.

Tiga kawasan di Perak iaitu Tanjung Malim, Tasek Ipoh dan Pegoh Ipoh turut mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan masing-masing 154, 147 dan 113.

Di Negeri Sembilan, kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Seremban (181) dan Port Dickson (169) manakala di Melaka melibatkan kawasan Bukit Rambai (175), Alor Gajah (174) dan Bandaraya Melaka (174).

Kawasan yang terlibat di Johor pula ialah Segamat (177), Pasir Gudang (173), Tangkak (169), Larkin (167), Pengerang (165), Kota Tinggi (164) dan Kluang (161), manakala di Pahang melibatkan Temerloh (168), Indera Mahkota (160), Jerantut (159), Rompin (158), Balok Baru (156) dan Kuantan (156).

Selain itu, tiga kawasan di Terengganu iaitu Kemaman (156), Paka (156) dan Kuala Terengganu (120) serta Tawau di Sabah (155) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di Sarawak (152) turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Sebanyak 31 kawasan pula mencatatakan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala dua kawasan merekodkan IPU pada tahap baik.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

-- BERNAMA