Am 06/10/2026 06:13 PM

Tiga Sesak Nafas Dalam Kebakaran Kereta Di Johor Bahru City Square

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiga Sesak Nafas Dalam Kebakaran Kereta Di Johor Bahru City Square
Gambar awam

JOHOR BAHRU, 6 Okt (Bernama) -- Tiga wanita termasuk seorang warga Singapura mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran sebuah kereta di aras bawah tanah 2, pusat beli-belah Johor Bahru City Square, di sini petang ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.40 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin serta BBP Tebrau tiba kira-kira enam minit kemudian.

Menurut kenyataan itu, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbakar dengan asap hitam tebal memenuhi kawasan berkenaan.

“Tiga mangsa wanita mengalami sesak nafas dan pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mereka.

“Seorang daripada mangsa berusia 48 tahun kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” menurut kenyataan itu.

Dua lagi mangsa ialah seorang wanita berusia 35 tahun dan seorang wanita dewasa warga Singapura.

Operasi melibatkan 26 anggota dengan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua EMRS.

-- BERNAMA