KUANTAN, 6 Okt (Bernama) -- Sebuah vesel nelayan tempatan yang dikendalikan enam warga Vietnam ditahan kira-kira 12 batu nautika dari pantai perairan Tanjung Agas bersama dengan kira-kira 100 kilogram hasil tangkapan laut, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Mazlan Mat Rejab berkata tangkapan pada 10.30 malam dibuat selepas anggota yang melaksanakan rondaan mengesan vesel itu dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati vesel itu melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 6.3 batu nautika tenggara dari Tanjung Agas, iaitu kurang daripada had 12 batu nautika yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mazlan berkata enam kru berusia 31 hingga 53 tahun ditahan kerana melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 dan semua mereka serta hasil laut itu dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.
Beliau juga mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, peraturan dan undang-undang yang ditetapkan serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Pahang melalui talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera diambil.
-- BERNAMA