KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman selama tujuh hari hingga 12 Okt itu dikeluarkan oleh Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.
“Lelaki berumur lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Keningau,” menurut SPRM.
Lelaki terbabit dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi kesemua projek kerajaan yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik ahli keluarganya, antara 2021 hingga 2024.
Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA