ALOR SETAR, 6 Okt (Bernama) -- Dua penjawat awam termasuk pegawai kanan sebuah agensi kerajaan dan seorang pemilik syarikat, direman lima hari bagi membantu siasatan kerana disyaki memberi serta menerima rasuah bernilai kira-kira RM155,000.
Perintah reman sehingga 10 Okt terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan Majistret Eliana Ismail, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
“Suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an hingga 50-an itu, ditahan semalam antara 5 petang hingga 9 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
“Siasatan awal mendapati kesemua individu itu disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan antara 2024 hingga 2025, sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan baju sukan,” menurut SPRM.
SPRM memaklumkan penjawat awam itu dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA