KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia sedang meneliti kemungkinan mewujudkan peruntukan yang membolehkan pemilik hak cipta memilih untuk tidak membenarkan karya mereka digunakan bagi perlombongan data, termasuk untuk melatih sistem kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Yusnieza Syarmila Yusoff berkata berkata mekanisme hak memilih keluar (opt-out) itu merupakan antara elemen penting yang dipertimbangkan dalam penelitian semula kerangka undang-undang hak cipta negara bagi menghadapi kepesatan teknologi itu.
“Kita sedang meneliti kemungkinan mewujudkan peruntukan berkaitan perlombongan data yang turut memberikan hak kepada pemilik karya untuk memilih keluar iaitu tidak membenarkan karya mereka digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Media yang mengupas tajuk AI, Media dan Harta Intelek: Siapa Pemilik, Siapa Bertanggungjawab? di sini hari ini.
Yusnieza berkata MyIPO telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi menilai implikasi penggunaan karya berhak cipta oleh syarikat teknologi sebagai data latihan untuk membangunkan sistem AI dan menghasilkan kandungan baharu.
Katanya isu hak cipta berkaitan AI merangkumi dua aspek utama iaitu penggunaan karya sebagai input atau data latihan serta status pemilikan terhadap output yang dijana oleh teknologi itu.
“AI ini melibatkan dua isu utama iaitu input mengenai bagaimana data latihan digunakan oleh teknologi tersebut, dan kedua adalah isu output berhubung status pemilikan atas hasil yang dijana,” katanya.
Oleh itu, penelitian yang sedang dijalankan turut merangkumi skop penggunaan karya yang dibenarkan bagi tujuan perlombongan data termasuk memperincikan jenis, tujuan, serta had jumlah kandungan yang boleh diakses.
Beliau berkata sebarang kerangka perundangan baharu perlu mencapai keseimbangan antara melindungi pemilik karya dengan menyediakan persekitaran yang kondusif kepada teknologi, perdagangan dan pelaburan.
“Kita tidak mahu undang-undang terlalu ketat sehingga mengekang perdagangan, pelaburan dan perkembangan teknologi. Kerangka yang diwujudkan perlu mesra pengguna, mesra harta intelek dan seimbang,” katanya.
Yusnieza berkata penelitian terhadap setiap peruntukan, pengecualian dan batasan dalam undang-undang hak cipta masih diteruskan menerusi forum serta perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum sebarang pendekatan dimuktamadkan.
-- BERNAMA