SINTOK, 6 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
UUM dalam kenyataan memaklumkan, turut menerima anugerah ialah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, yang merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, susulan pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Menurut kenyataan itu anugerah tersebut disampaikan bersempena dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026 dan Perhimpunan Bulanan UUM di Dewan Mu'adzam Shah, hari ini.
Dalam pada itu Ahmad menyifatkan anugerah seumpama itu, merupakan penghormatan besar dan julung kali diterimanya sepanjang usianya 60 tahun.
Beliau yang merupakan alumni UUM, yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Komunikasi pada 2025, berkata anugerah itu, menjadi amanah untuknya terus menyumbang kepada pembangunan ummah menerusi ilmu, kemahiran, pendidikan dan dakwah.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata pencapaian alumni bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, malah mencerminkan keberkesanan pendidikan serta pembangunan insan yang diterapkan sepanjang tempoh pengajian.
Beliau berkata pengiktirafan terhadap alumni menerusi Anugerah Tokoh Maulidur Rasul, merupakan manifestasi penghargaan universiti terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat serta negara.
“Apabila ada alumni kita yang menduduki tempat-tempat tertinggi sama ada dalam politik, kerajaan, sektor swasta atau perniagaan, ia menunjukkan universiti telah melakukan sesuatu sehingga mereka mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya masing-masing,” katanya.
Martadha berkata Ahmad dan Abdul Aziz memberi inspirasi kepada warga universiti, khususnya pelajar, untuk menjadikan perjalanan kerjaya mereka sebagai panduan dan teladan.
-- BERNAMA