Am 06/10/2026 03:54 PM

P Pinang Perkukuh Penyelarasan Dengan MAHB, Perluas Laluan Udara Antarabangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
P Pinang Perkukuh Penyelarasan Dengan MAHB, Perluas Laluan Udara Antarabangsa

GEORGE TOWN, 6 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan memperkukuh penyelarasan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam merancang peluasan kesambungan udara antarabangsa seiring dengan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sedang dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata perancangan awal penting bagi memastikan kapasiti tambahan LTAPP dapat dimanfaatkan sepenuhnya selepas projek naik taraf itu siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Beliau berkata projek itu dijangka meningkatkan kapasiti penumpang tahunan LTAPP kepada 12 juta daripada 6.8 juta seterusnya membuka peluang untuk memperkenalkan laluan antarabangsa baharu dan menambah kekerapan penerbangan bagi laluan sedia ada.

“Keutamaan seterusnya adalah supaya kapasiti tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan pembukaan laluan baharu dan menambah kekerapan penerbangan sedia ada, justeru persiapan awal penting untuk kita buat dan perlu bekerjasama rapat dengan MAHB bagi menjamin perancangan dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan MAHB di Kuala Lumpur baru-baru ini mengenai peluasan dan naik taraf LTAPP serta laluan udara baharu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga giat membangunkan laluan udara secara terus dengan bandar-bandar raya utama antarabangsa bagi meningkatkan ketibaan pelancong dan pada masa sama menjana manfaat pelancongan dan ekonomi.

Pada masa sama Wong berkata kerajaan negeri dan MAHB akan mengadakan pertemuan secara berkala bagi membincangkan pembangunan laluan, trend pasaran penerbangan serta projek masa depan membabitkan LTAPP.

Beliau turut menggesa MAHB supaya terus memberikan perhatian kepada kedudukan LTAPP sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia dan memanfaatkan potensinya sebagai hab penerbangan, termasuk melalui perkongsian risikan pasaran penerbangan dan data berkaitan.

Wong berkata sektor kargo udara turut mempunyai potensi pertumbuhan ketara memandangkan Pulau Pinang menjadi tumpuan syarikat multinasional dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan logistik dan kargo udara antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menggesa kerajaan Persekutuan memperkukuh agenda pembangunan pelancongan menerusi Belanjawan 2027, termasuk melalui Dana Ketersambungan Udara Antarabangsa dengan geran padanan bagi menarik lebih banyak penerbangan terus dari pasaran strategik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan Asia Barat.

-- BERNAMA