PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Sebanyak 40 usahawan mikro tempatan yang menyertai Karnival Litar Rasa MADANI bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 menikmati pengecualian sewa tapak dan komisen jualan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata kadar sewa komersial di G Hillstand bagi tempoh tiga hari penganjuran GP Bahrain itu melebihi RM6,000, tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain komisen sebanyak 15 peratus daripada jumlah jualan kasar.
"Namun, bagi 40 usahawan Litar Rasa MADANI, mereka tidak dikenakan sewa tapak atau komisen jualan. Mereka hanya perlu membayar RM180 bagi lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata khemah, meja, kerusi, peti penyejuk, kipas serta keperluan asas gerai turut disediakan kepada usahawan supaya mereka dapat memberikan tumpuan pada stok, tenaga kerja dan operasi perniagaan.
Sim berkata konsep Litar Rasa MADANI bukan sahaja memberikan pilihan makanan pada harga berpatutan kepada pemegang Tiket MADANI, tetapi juga memastikan limpahan ekonomi daripada acara antarabangsa seperti F1 turut sampai kepada usahawan kecil tempatan.
“Acara antarabangsa seperti F1 tidak semestinya hanya membuka peluang kepada syarikat besar. Tugas KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) ialah memastikan usahawan kecil Malaysia juga ada ruang untuk berada di pentas itu.
“Hasilnya, ramai peniaga terpaksa menambah stok beberapa kali sepanjang acara. Pengunjung dapat menikmati F1 dengan makanan dan minuman pada harga yang berpatutan, manakala usahawan kita pula dapat berniaga dan mendapat pelanggan baharu,” katanya.
Sim berkata keseluruhan hasil jualan makanan dan minuman direkodkan 40 usahawan mikro tempatan sepanjang karnival itu mencecah RM555,000, mengatasi sasaran awal RM500,000.
Litar Rasa MADANI ditempatkan di G Hillstand, iaitu kawasan Tiket MADANI berharga RM200 untuk tiga hari penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, dengan 10,000 tiket diperuntukkan khas kepada pemegang MyKad.
Sepanjang tiga hari acara pada Jumaat hingga Ahad lepas, 40 gerai berkenaan menawarkan lebih 100 pilihan makanan dan minuman, termasuk makanan tempatan seperti nasi lemak rendang ayam, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak dan keropok lekor.
Pengunjung di kawasan berkenaan turut menikmati kemudahan isi semula air dan ruang makan, selain akses mudah kepada tandas dan surau.
-- BERNAMA