MELAKA, 6 Okt (Bernama) -- Seorang tukang kasut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh hari ini atas empat pertuduhan mencederakan warga emas dan kanak-kanak, cuba mencuri kenderaan serta berbogel di tempat awam, minggu lepas.
Muhammad Firdaus Jamal, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Pada prosiding di Mahkamah Sesyen, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nordin Sonsang, 63, dengan memukul menggunakan botol berisi cecair berwarna perang di sebuah rumah di Kampung Ayer Molek pada 7.30 malam 29 Sept.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyum Ramlan memohon supaya lelaki itu yang tidak diwakili peguam dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan mental.
Di Mahkamah Majistret, Muhammad Firdaus dituduh cuba mencuri Toyota Alphard di sebuah rumah di Taman Ayer Molek pada kira-kira 8 malam pada tarikh sama dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga dituduh mengikut Seksyen 323 kanun sama kerana mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lapan bulan pada 8.20 malam di lokasi dan tarikh sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Muhammad Firdaus didakwa melakukan kelucahan melampau dengan berbogel di tempat awam di sebuah rumah di Taman Ayer Molek pada 8.20 malam pada tarikh sama, mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Nadzir Abdol Rahman.
Hakim dan Majistret terlibat memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Permai untuk pemeriksaan mental dan menetapkan 5 Nov untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA