Am 04/10/2026 05:00 PM

Kes Saman Sivil Keluarga Pelajar Kes Bunuh Ikut Prosedur Ditetapkan - Kulasegaran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Saman Sivil Keluarga Pelajar Kes Bunuh Ikut Prosedur Ditetapkan - Kulasegaran
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika bertemu para pengamal media pada Program MADANI Kita (PMK) 2026 bersama Komuniti Buntong, di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari Buntong hari ini.

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan membenarkan proses undang-undang dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan susulan saman sivil difailkan keluarga Yap Shing Xuen, yang maut ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Oktober tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata bagaimanapun, pihaknya tidak mahu mengulas mengenai isu saman itu kerana tidak mempunyai maklumat lengkap.

“Tindakan oleh pihak kerajaan dan polis akan mengikut prosedur biasa melainkan berlaku sesuatu yang luar biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita bersama dengan Komuniti Buntong di sini hari ini.

Ditanya sama ada undang-undang sedia ada perlu diperkukuh bagi memasukkan elemen kesihatan mental, Kulasegaran berkata kerajaan sedang merangka perundangan baharu mengenai perkara itu.

Beliau berkata perbincangan sedang dijalankan dengan agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memastikan isu kesihatan mental diberi perhatian sewajarnya, termasuk dalam kalangan golongan muda.

“Perhatian yang lebih besar juga perlu diberikan bagi membantu ibu bapa memahami keperluan anak-anak mereka termasuk isu yang melibatkan kesihatan mental,” katanya.

Ibu dan kakak pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut pada 14 Okt tahun lepas itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa pihak berhubung kematian remaja berkenaan.

Ibunya memaklumkan bahawa tindakan undang-undang itu difailkan pada 1 Okt lepas menerusi Tetuan Surendra Ananth, dengan menamakan beberapa agensi kerajaan, ibu bapa remaja lelaki yang menikam Yap, serta remaja lelaki terbabit sebagai defendan.

Wanita itu berkata keluarganya percaya tragedi menimpa Yap boleh dielakkan jika pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya terutama dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

-- BERNAMA