Am 04/10/2026 04:44 PM

Gagal Di Aichi-Nagoya, Empat Sukan Perlu "Dibedah Siasat" - MSN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gagal Di Aichi-Nagoya, Empat Sukan Perlu
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin (dua, kanan) pada Sidang Media Rangkuman Temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Port Messe Nagoya hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nasir Ali (dua, kiri) dan Timbalan Chief De Mission bagi kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 Mohd Azlan Iskandar (kanan) dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (kiri).

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

NAGOYA, 4 Okt (Bernama) -- Kegagalan empat sukan iaitu olahraga, renang, memanah dan menembak menyumbang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi pencetus kepada penilaian semula perancangan dan sistem pembangunan sukan berkenaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata penilaian bersama-sama persatuan dan barisan kejurulatihan perlu dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan yang menyebabkan atlet daripada empat sukan berkenaan masih belum mampu memberikan saingan lebih sengit di pentas Asia.

“Olahraga, memanah, renang dan menembak sebenarnya mampu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. Bagaimanapun, kita perlu menilai semula perancangan bersama persatuan dan jurulatih serta mengenal pasti tindakan yang perlu dibuat untuk memastikan mereka lebih berdaya saing,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di sini, hari ini.

Jefri berkata kemampuan atlet meraih kejayaan di peringkat Sukan SEA tetapi gagal mengulangi pencapaian itu di pentas Asia menunjukkan masih terdapat jurang yang perlu ditangani secara lebih menyeluruh.

“Mereka berjaya memenangi pingat emas di peringkat Sukan SEA, tetapi masih gagal memenangi pingat emas di Sukan Asia.

“Jadi, segala sokongan, bantuan dan perancangan perlu dibuat bersama persatuan dan jurulatih supaya atlet dapat mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata perbezaan tahap persaingan ketara dalam renang, dengan atlet sukan itu perlu memperkukuh prestasi di peringkat Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum menyasarkan podium Sukan Asia.

“Bagi renang, mereka memang perlu bersaing di peringkat Sukan SEA dahulu sebelum mengintai peluang untuk meraih pingat di Sukan Asia. Perjalanan mereka masih jauh.

“Olahraga pula kali ini gagal dan barisan jurulatih serta persatuan perlu melihat semula perancangan serta kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Jefri berkata kegagalan di Aichi-Nagoya tidak seharusnya berakhir sebagai pencapaian tanpa pingat, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit menjelang temasya akan datang.

“Kita perlu lebih banyak perbincangan dengan pihak persatuan untuk memperbaiki sistem. Perancangan perlu dimulakan dari sekarang, termasuk aspek latihan, persatuan dan kejurulatihan supaya mereka membuat persiapan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nasir Ali berkata aspek pendedahan pertandingan, kelengkapan dan khidmat kejurulatihan perlu diberi perhatian khususnya bagi memanah dan menembak.

“Kalau kita lihat kemampuan, kita sebenarnya ada potensi dalam dua sukan ini. Cuma mungkin dari segi kelengkapan, jurulatih dan pendedahan pertandingan perlu dipertingkatkan.

“Saya dapati ada atlet yang kurang menyertai pertandingan dalam setahun, mungkin hanya dua atau tiga kali. Jadi perkara seperti peralatan dan pendedahan pertandingan perlu kita lihat semula,” katanya.

Nasir turut menekankan kepentingan pengurusan persatuan dalam memastikan pembangunan atlet dilaksanakan secara tersusun, terutama bagi sukan yang gagal mencapai sasaran.

“Yang penting juga ialah pengurusan. Bagi sukan yang tidak menunjukkan prestasi seperti dijangkakan, kita perlu lihat kemampuan persatuan mengurus atlet dan menyediakan perancangan strategik. Setiap persatuan mesti ada perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Mengenai olahraga, Nasir berkata sasaran yang lebih realistik perlu ditetapkan bagi membantu sukan berkenaan kembali kompetitif di pentas Asia.

“Salah satu sukan yang kita patut lihat ialah olahraga. Kita perlu kembalikan kegemilangan olahraga. Kita tidak harapkan lima atau enam pingat, tetapi sekurang-kurangnya satu atau dua pingat sepatutnya mampu kita dapat,” katanya.

-- BERNAMA