Dunia 04/10/2026 01:04 PM

Gempa Bumi Sumba: 62 Kejutan Lanjur Direkodkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gempa Bumi Sumba: 62 Kejutan Lanjur Direkodkan

JAKARTA, 4 Okt (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 62 kejutan lanjur direkodkan dalam tempoh lebih dua jam selepas gempa bumi bermagnitud 5.9 melanda Sumba Barat Daya, Nusa Tenggara Timur, pada awal pagi Ahad.

Pemangku Timbalan Geofizik Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia Ardhasena Sopaheluwakan berkata kejutan lanjur bermagnitud antara 1.5 hingga 4.3 itu direkodkan setakat 8.05 pagi waktu tempatan selepas gempa utama berlaku pada 5.55 pagi.

“Kami akan terus memantau aktiviti kejutan lanjur dan menyalurkan maklumat terkini kepada pihak berkepentingan serta orang ramai,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung.

BMKG menyemak semula magnitud gempa bumi itu kepada 5.9 daripada bacaan awal 6.1, dengan kedalaman 30 kilometer dan pusat gempa terletak di laut kira-kira 59 kilometer barat daya Kodi, Sumba Barat Daya.

Ardhasena berkata gegaran paling kuat dirasai di beberapa kawasan di Kodi, dengan gegaran itu cukup kuat sehingga mengejutkan penduduk dan menyebabkan ramai bergegas keluar rumah, manakala pemodelan agensi berkenaan menunjukkan gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami.

Mengenai tempoh kejutan lanjur itu mungkin berterusan, Pegawai Operasi Penyebaran Maklumat Gempa Bumi dan Amaran Awal Tsunami BMKG Dr Bayu Pranata berkata agensi itu memerlukan data tambahan selama kira-kira dua hari sebelum dapat memberikan anggaran lebih tepat mengenai penurunan aktivitinya, meskipun anggaran awal menunjukkan kejutan lanjur itu mungkin berterusan kurang daripada sebulan.

Beliau berkata siri kejutan lanjur itu dijangka tidak berlarutan selama kejutan lanjur susulan gempa bumi Flores pada 15 Ogos, yang masih berterusan dan dijangka berlanjutan kira-kira satu hingga dua bulan, memandangkan gempa bumi pada Ahad mencatat magnitud lebih rendah.

Sementara itu, Pengarah Seismologi Kejuruteraan, Potensi Geofizik dan Tanda Waktu BMKG Teguh Rahayu berkata seorang individu mengalami kecederaan ringan, manakala kerosakan yang dilaporkan di beberapa kawasan dikategorikan sebagai sederhana setakat 8.40 pagi.

“Kerosakan dilaporkan di Pero Konda, membabitkan sebuah sekolah rendah Islam dan dua rumah,” katanya.

Rahayu berkata BMKG terus menyelaras dengan agensi pengurusan bencana tempatan dan Stesen Geofizik Sumba Timur bagi memantau perkembangan serta mendapatkan laporan lanjut mengenai kerosakan, manakala tinjauan mengenai kesan gempa bumi itu juga akan dijalankan.

-- BERNAMA