Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 2 Okt (Bernama) -- Polis Indonesia membongkar kegiatan yang disyaki sebagai import haram tiga enjin pesawat turbofan terpakai bernilai kira-kira Rp30 bilion (RM6.85 juta) dari Singapura ke Batam, Wilayah Kepulauan Riau.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Kepulauan Riau, Pesuruhjaya Kanan Nona Pricillia Ohei berkata empat suspek ditahan dan kini berada dalam tahanan Polis Kepulauan Riau kerana disyaki terbabit dalam penghantaran dan membawa masuk enjin berkenaan.
Beliau berkata penyiasat menemukan enjin itu di Jalan Duyung, Batu Ampar, Batam pada 14 Ogos selepas menerima maklumat mengenai barangan terpakai yang dibawa masuk dari luar negara.
“Modus operandi melibatkan membawa masuk enjin pesawat terpakai dari Singapura ke Batam tanpa memenuhi dokumen import dan peraturan yang ditetapkan.
“Polis merampas tiga enjin yang dianggarkan bernilai kira-kira Rp30 bilion, selain dokumen berkaitan pengimportannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan lanjut mendapati enjin berkenaan berada di Batam selama kira-kira tujuh bulan sebelum ditemui ketika dipindahkan antara gudang, menurut agensi berita Indonesia Antara.
Agensi berita itu melaporkan bahawa dokumen yang dirampas penyiasat menunjukkan Jakarta sebagai destinasi akhir enjin berkenaan, yang dilaporkan akan digunakan sebagai alat ganti pesawat.
Keempat-empat suspek berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum Rp5 bilion mengikut undang-undang perdagangan Indonesia.
-- BERNAMA