Am 02/10/2026 11:34 PM

Fahmi Ingatkan Pencipta Kandungan, Pempengaruh Jaga Adab Dan Nilai Kemanusiaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fahmi Ingatkan Pencipta Kandungan, Pempengaruh Jaga Adab Dan Nilai Kemanusiaan
fb Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial perlu mengutamakan adab, pertimbangan dan sifat kemanusiaan, ketika menghasilkan kandungan terutama berhubung situasi terkini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata walaupun ramai yang ingin mengetahui perkembangan dan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu, namun tidak semua perkara perlu dijadikan bahan berita atau kandungan media sosial.

“Kita faham ramai yang nak tahu perkembangan terkini termasuk keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir. Tapi sebenarnya tak semua benda perlu dikejar, lebih-lebih lagi untuk buat berita atau content.

“Teknologi boleh berubah, kita boleh berbeza pandangan tapi janganlah guna media sosial sampai kita hilang adab, moral dan sifat kemanusiaan,” katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di platform X malam ini.

Sehubungan dengan itu, Fahmi menggesa semua pihak agar memberikan ruang serta masa kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga beliau, yang masih berduka atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata anak bekas Perdana Menteri itu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum ini telah membuat permintaan untuk berikan ruang dan privasi kepada ahli keluarganya yang sedang berduka.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan pengguna media sosial agar tidak menyebarkan sebarang kandungan spekulatif, kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang tidak sensitif atau sebarang kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Dan kalau kita terjumpa kandungan yang mengaibkan, yang menggunakan AI yang tak sensitif atau sampai mendoakan benda-benda yang bukan-bukan, jangan share, jangan komen dekat post tu, jangan bagi views.  

“Kalau nampak content macam ni, terus lapor kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis,” katanya.

-- BERNAMA