Am 02/10/2026 02:03 PM

Lima Pingat Di Aichi-Nagoya Bukti Sokongan KBS Pacu E-sukan Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lima Pingat Di Aichi-Nagoya Bukti Sokongan KBS Pacu E-sukan Malaysia
Kredit: FB - Malaysia Esports Federation

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pencapaian skuad e-sukan negara merangkul satu emas, dua perak dan dua gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan sokongan padu kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mampu melonjakkan sukan elektronik negara ke tahap lebih tinggi.

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) hari ini memaklumkan pencapaian lima pingat daripada sembilan acara itu merupakan hasil perancangan strategik, persediaan rapi serta kerjasama erat antara MESF, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut MESF, kejayaan bersejarah itu turut membuktikan keberkesanan inisiatif Program Podium sepenuh masa yang memberi ruang kepada sebahagian atlet e-sukan negara menjalani persediaan secara lebih tersusun dan profesional.

MESF turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari atas wawasan, sokongan serta usaha mengangkat martabat e-sukan sebagai antara cabang sukan berprestasi tinggi negara.

"Cetusan idea untuk menyerapkan sebahagian barisan atlet e-sukan ke dalam Program Podium secara sepenuh masa merupakan satu keputusan yang tepat.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja meletakkan e-sukan setaraf dengan sukan berprestasi tinggi lain, malah memberi jaminan dan ketenangan kepada para atlet," menurut kenyataan itu.

MESF berkata perhatian terhadap aspek infrastruktur, kebajikan dan masa depan atlet membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persediaan kejohanan, sekali gus membantu skuad negara bersaing di pentas Asia.

Pencapaian di Aichi-Nagoya merupakan permulaan kepada usaha berterusan untuk melahirkan lebih ramai bakat e-sukan bertaraf dunia serta memastikan kejayaan berkenaan menjadi batu loncatan kepada pembangunan e-sukan negara.

-- BERNAMA