KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menjadi alumni pertama yang namanya diabadikan pada sebuah bangunan di Cheltenham Ladies’ College, England, apabila pusat tingkatan enam baharu kolej itu dinamakan Zarith Sofiah Centre.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, penamaan pusat itu diumumkan pada 29 Sept lepas sebagai penghormatan kepada Seri Paduka Baginda.
Pengetua Eksekutif Cheltenham Ladies’ College Eve Jardine-Young berkata penamaan itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan bakti Seri Paduka Baginda.
“Bagi pihak ibu bapa, pelajar dan kakitangan Cheltenham Ladies’ College – dulu, kini dan pada masa akan datang – kami berbesar hati untuk membuka Pusat Tingkatan Enam yang baharu ini dan menamakannya sempena Raja Zarith Sofiah sebagai pengiktirafan kepada jasa dan bakti sepanjang kehidupan Seri Paduka Baginda.
“Ia merupakan satu-satunya bangunan yang dinamakan bersempena dengan ahli alumni kami dan kita tidak sabar untuk menerima pelajar-pelajar baharu bagi 2027 dan berkongsi perkembangan pusat ini bersama dengan Seri Paduka Baginda,” kata Jardine-Young menerusi hantaran itu.
Raja Zarith Sofiah mengikuti pengajian di kolej yang terletak di Cheltenham itu selama lima tahun dari 1972 hingga 1977 sebelum melanjutkan pengajian tinggi di University of Oxford.
-- BERNAMA