KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Persatuan Penjenamaan Malaysia (BAM) menyasarkan untuk membantu lebih banyak syarikat tempatan membina jenama diiktiraf pada peringkat antarabangsa, sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk memperkukuh identiti perniagaan global Malaysia.
Persatuan itu dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa jenama Malaysia yang lebih kukuh, boleh mencipta nilai melangkaui syarikat individu dengan meningkatkan reputasi antarabangsa dan daya saing perniagaan Malaysia.
“Malaysia bukan sahaja patut melahirkan syarikat yang berjaya, ia juga harus membina lebih banyak jenama yang mampu mewakili negara di persada dunia,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan BAM, aspirasi itu membentuk sebahagian daripada hala tuju persatuan untuk penggal 2026-2028, dalam usahanya memacu peralihan daripada “Buatan Malaysia” ke arah identiti global yang lebih kukuh sebagai “Jenama Malaysia”.
Kenyataan BAM itu memaklumkan bahawa persaingan global hari ini melangkaui keupayaan pembuatan, dengan ekuiti jenama, kepercayaan, pembezaan, harta intelek, pengalaman pelanggan dan pengiktirafan antarabangsa memainkan peranan yang semakin penting dalam daya saing perniagaan jangka panjang.
Persatuan itu juga bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara perniagaan, agensi kerajaan, organisasi perdagangan, persatuan industri, media, institusi pendidikan dan rakan kongsi antarabangsa bagi mewujudkan ekosistem yang lebih terhubung untuk jenama-jenama Malaysia.
Pada masa yang sama, BAM juga berharap dapat memperkukuh hubungannya dengan agensi kerajaan yang berkaitan, rakan industri dan rangkaian antarabangsa untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada perniagaan Malaysia untuk bersaing melangkaui pasaran domestik.
Objektif jangka panjangnya adalah untuk membantu perusahaan Malaysia, bergerak melangkaui tahap sekadar menjual produk ke luar negara kepada membina jenama Malaysia di luar negara.
Hala tuju itu diketengahkan susulan majlis pelantikan Majlis BAM bagi penggal 2026-2028 di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada hari Selasa, yang menandakan bermulanya lembaran baharu tiga tahun bagi persatuan tersebut.
Melalui majlis itu, Michelle Hah secara rasmi dilantik sebagai Presiden BAM, dengan Datuk Jennifer Ong sebagai Timbalan Presiden, bersama dengan empat Naib Presiden dan ahli-ahli majlis yang lain.
“Mereka telah mengambil bahagian dalam majlis mengangkat sumpah rasmi, menegaskan komitmen kolektifnya untuk memajukan pembangunan jenama Malaysia, memperkukuh kerjasama industri dan memperluas kehadiran antarabangsa jenama tempatan,” menurut kenyataan itu.
Majlis itu, yang menghimpunkan kira-kira 100 ahli BAM serta pemimpin perniagaan dan industri, turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Abu Bakar Yusof sebagai tetamu kehormat.
BAM turut melantik Pengerusi Eksekutif ASTEEL Group Bhd Tan Sri Soh Thian Lai dan Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Rumaizi Baharin, sebagai penasihat bagi penggal baharu itu.
Satu lagi tumpuan utama ialah pelancaran dan pembentangan Malaysia Book of Brands, yang memaparkan jenama-jenama Malaysia yang terkemuka termasuk penerima Brand Legend Award serta mendokumentasikan perjalanan keusahawanan, nilai jenama, pencapaian dan sumbangan mereka kepada landskap perniagaan Malaysia.
Sepanjang penggal 2026-2028, BAM memaklumkan ia berhasrat untuk memajukan inisiatif dalam pendidikan jenama, rangkaian perniagaan, kerjasama merentas industri, ketersambungan pasaran antarabangsa, libat urus kerajaan-industri dan pengantarabangsaan jenama Malaysia.
“Akhirnya, BAM bercita-cita agar ‘Jenama Malaysia’ akan berevolusi melangkaui sekadar keterangan tempat asal, sebaliknya semakin mewakili kualiti, inovasi, integriti, kepercayaan dan nilai yang berkekalan pada pasaran global,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
TAG: BAM, jenama, Jenama Malaysia, global
MJ SSA HIS