Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri urus niaga hari ini dengan lebih tinggi, dipacu prestasi pasaran emas global yang terus meningkat.
Perkembangan itu dicatatkan ketika data ekonomi Amerika Syarikat (AS) kurang memberangsangkan dan hanya memacu jangkaan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan menaikkan kadar faedah utama negara maju dalam masa terdekat.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pemulihan semalaman logam berharga itu yang berlanjutan sehingga ke sesi pasaran Asia, didorong oleh faktor kelemahan keyakinan penguna AS dan tawaran pekerjaannya selain ulasan Presiden Fed New York John Williams yang tidak sebegitu cenderung kepada dasar monetari lebih ketat.
Beliau berkata Williams turut menyangkal dakwaan bahawa bank pusat AS itu dilihat sebagai tergesa-gesa untuk mengetatkan lagi dasar monetari sedia ada.
“Pemulihan emas sebegitu menggalakkan walaupun setakat ini sukar untuk menembusi paras melebihi US$4,200 yang pada saya menjadi ujian sebenar peningkatan pasaran.
“Bagi saya, beberapa langkah atau pergerakan itu mencerminkan pendirian yang bertujuan menampung kekurangan menjelang pengumuman laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) malam ini,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sebahagian daripada pemulihan itu memaparkan tindakan peniaga mengurangkan risiko daripada menyusun semula kedudukan belian secara agresif dan mendadak.
Pada penutup sesi hari ini, kontrak bulan semasa September 2026 meningkat kepada US$4,188.80 setiap auns troy daripada US$4,139.90 semalam, Oktober 2026 naik kepada US$4,201.30 daripada US$4,155.80 dan November 2026 meningkat kepada US$4,217.90 daripada US$4,172.60 setiap auns troysemalam.
Kontrak Disember 2026, Februari 2027 dan April 2027 masing-masing meningkat kepada US$4,225.70 setiap auns troy daripada US$4,180.40 sebelum ini.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 127 lot daripada 171 lot semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 171 kontrak daripada 214 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,163.40 setiap auns troy menerusi penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 29 Sept, 2026.
-- BERNAMA