Am 30/09/2026 08:32 PM

Aichi-Nagoya 2026: Keterujaan Jadi Padah, MLBB Malaysia Akur Dengan Gangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aichi-Nagoya 2026: Keterujaan Jadi Padah, MLBB Malaysia Akur Dengan Gangsa
Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) kebangsaan yang dibarisi Muhammad Qayyum Ariffin, Muhammad Danial Mohamad Fuad, Muhammad Haqqullah, Hazziq Danish Mohamad Rizwan, Muhammad Danish Fitri Razman dan Muhamad Razif Sazali selepas menamatkan aksi separuh akhir menentang Myanmar pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi Sky Expo hari ini. Skuad kebangsaan meraih pingat gangsa selepas tewas 0-2 kepada Myanmar dalam aksi separuh akhir berkenaan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

AICHI, 30 Sept (Bernama) -- Keterujaan selepas mendahului pada permainan kedua menjadi titik perubahan yang menyaksikan impian skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara untuk mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berkecai, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Malaysia tewas 0-2 kepada Myanmar pada aksi separuh akhir di Aichi Sky Expo di sini hari ini, meskipun berpeluang mengheret perlawanan ke permainan penentuan selepas memberikan tentangan lebih sengit pada permainan kedua.

Pemain negara Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau lebih dikenali sebagai ‘Sekys’ berkata kegagalan mengawal emosi selepas memperoleh kelebihan menyebabkan mereka melakukan beberapa kesilapan yang akhirnya dihukum Myanmar.

"Untuk permainan pertama memang harapan kita tidak begitu tinggi, tetapi untuk permainan kedua keadaan sebenarnya memihak kepada kita. Kita melakukan sedikit kesilapan dan di situ kita dihukum.

"Kita mungkin terlalu teruja sebab sudah mendahului. Kita tidak dapat mengawal antara satu sama lain untuk bertenang dan kekal di pertengahan permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Kekalahan itu lebih mengecewakan buat skuad negara yang semakin yakin mampu memburu emas selepas Filipina, pasukan pilihan kejohanan, tersingkir dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Malaysia sebelum itu menewaskan Jordan 2-0 pada suku akhir, namun Myanmar yang dibarisi Myo Myint Ko Ko Kyaw, Hein Htet Oo, Kyaw Thuya, Han Htoo Swe dan Shine Lin Aung tampil lebih kemas untuk mengesahkan kemenangan dalam format terbaik daripada tiga permainan (best of three - BO3).

Pingat gangsa MLBB itu merupakan yang kedua diraih skuad e-sukan negara hari ini selepas Identity V turut menyumbang gangsa.

Malaysia menutup kempen e-sukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kutipan satu emas, dua perak dan dua gangsa.

Emas disumbangkan atlet e-racing Taj Izrin Aiman Taj Madira, manakala dua perak diraih menerusi skuad eFootball dan Honor of Kings.

-- BERNAMA