Am 30/09/2026 01:22 PM

Pencuci Kereta Mengaku Tidak Bersalah Cuba Bunuh Polis Trafik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pencuci Kereta Mengaku Tidak Bersalah Cuba Bunuh Polis Trafik
Pekerja kedai cuci kereta K. Viknes mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis trafik pada 24 Sept lepas.

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Seorang pekerja kedai cuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis trafik pada 24 Sept lepas. 

K. Viknes, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus. 

Mengikut pertuduhan, Viknes yang memandu sebuah kereta Honda Civic didakwa cuba membunuh Lans Korperal Badrul Izwany Pauzi, 29, dengan melanggar mangsa serta menyedari bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M. Raveena kemudian mencadangkan jaminan RM100,000 dengan mengambil kira mangsa merupakan penjawat awam yang sedang menjalankan tugas, selain memohon beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

Bagaimanapun, peguam Jagdave Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah serendah RM10,000 atas alasan anak guamnya yang belum berkahwin hanya berpendapatan RM50 sehari serta menanggung ibu serta dua adik yang masih bersekolah.

Hakim Norhayati kemudian menetapkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes. 

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh didakwa atas lapan lagi pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 24 Sept lepas, Badrul Izwany dilaporkan patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dalam kejadian yang tular di media sosial.

-- BERNAMA