Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
JAKARTA, 30 Sept (Bernama) -- Dua perlawanan, dua clean sheet, tiga gol dan empat mata sudah cukup untuk meletakkan Malaysia di puncak Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026.
Namun, segala statistik itu tidak membawa makna sekiranya Harimau Malaya gagal melepasi ujian paling penting setakat ini apabila berdepan Singapura pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, malam esok.
Pertemuan itu bukan sekadar 'Derbi Seberang Tambak', sebaliknya 90 minit yang bakal menentukan sama ada kempen Malaysia mara ke final atau terpaksa berpuas hati dengan aksi penentuan tempat ketiga.
Skuad negara bimbingan ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe berada di kedudukan teratas dengan empat mata, sama seperti Indonesia tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan, manakala Singapura mengekori rapat dengan tiga mata.
Dengan hanya juara kumpulan layak ke final, kemenangan ke atas Singapura kendalian Gavin Lee akan membawa Malaysia mengumpul tujuh mata, namun belum menjamin tiket ke pentas penentuan kejuaraan.
Sekiranya Indonesia turut menewaskan Bangladesh dalam satu lagi aksi terakhir kumpulan esok, Malaysia dan skuad Garuda masing-masing akan menamatkan saingan dengan tujuh mata sekali gus menjadikan perbezaan jaringan faktor penting dalam perebutan satu tiket ke final.
Malaysia ketika ini memiliki kelebihan tipis satu jaringan hasil kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum seri tanpa jaringan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) dalam dua aksi pertama.
Kemenangan tipis ke atas Singapura esok, mungkin memadai, namun anak buah Cheng Hoe tidak boleh sekadar memburu tiga mata.
Skuad pimpinan kapten Dion Cools juga perlu mencari jaringan sebanyak mungkin sambil mempertahankan rekod tanpa bolos bagi mengelakkan nasib ke final ditentukan oleh kiraan yang memihak kepada Indonesia.
Berdasarkan statistik dua perlawanan awal, Harimau Malaya memiliki sedikit kelebihan selepas menjaringkan tiga gol tanpa bolos, manakala Singapura hanya meledak sekali dan dibolosi dua kali selepas tewas 0-2 kepada Indonesia sebelum bangkit menewaskan Bangladesh 1-0.
Pertembungan di Bandung juga bakal membuka satu lagi episod persaingan tradisi antara Malaysia dan Singapura di pentas antarabangsa.
Sejak 2022, rekod pertemuan kedua-dua pasukan berjiran itu agak seimbang, dengan Malaysia mencatat dua kemenangan, Singapura satu, manakala satu lagi perlawanan berakhir seri.
Namun, kemenangan 2-1 Malaysia dalam pertemuan terakhir pada September 2025 dibatalkan, dengan Singapura kemudian diberikan kemenangan 3-0 susulan hukuman FIFA terhadap Malaysia kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
Bagi Malaysia, persoalan utama bukan lagi keupayaan mencipta peluang, sebaliknya ketajaman menyudahkannya selepas Harimau Malaya menguasai sebahagian besar babak kedua ketika menentang Indonesia yang bermain dengan 10 pemain di GBK, tetapi gagal menterjemahkan peluang kepada gol.
Justeru, ketajaman Arif Aiman Mohd Hanapi yang telah menjaringkan dua gol dan sentuhan Bergson da Silva akan sekali lagi menjadi sandaran utama untuk menembusi pertahanan Singapura.
Di Bandung, Malaysia bukan sahaja perlu menang, malah melakukannya dengan cukup meyakinkan kerana dalam persaingan ke final yang begitu rapat, satu gol mampu memisahkan Harimau Malaya daripada pentas penentuan kejuaraan, yang sudah pun menyaksikan Thailand mengesahkan tempat lebih awal.
-- BERNAMA