KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, bermimpi dan merealisasikan potensi penuh mereka. Menyedari bahawa sesuatu yang mudah seperti penglihatan yang jelas boleh membawa perubahan besar dalam hidup, Yayasan AmGroup menyumbangkan cermin mata preskripsi kepada 44 murid kurang bernasib baik daripada kategori B40 di SK St. Mary, Kuching, bagi membantu mereka melihat suasana bilik darjah dan masa depan mereka dengan lebih yakin.
Inisiatif ini menyediakan pemeriksaan mata dan penilaian penglihatan secara percuma, diikuti dengan pemberian cermin mata preskripsi baharu kepada murid yang memerlukannya. Program ini dijayakan melalui kerjasama dengan Eyesight Optic, salah satu pelanggan penting AmBank di Kuching, demi mewujudkan impak komuniti yang bermakna dan berkekalan.