Am 30/09/2026 12:05 PM

Permintaan Kargo Udara Global Meningkat 4.4 Peratus Pada Ogos 2026 - IATA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Permintaan Kargo Udara Global Meningkat 4.4 Peratus Pada Ogos 2026 - IATA

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Jumlah permintaan kargo udara global, diukur dalam tan kargo bagi setiap kilometer (CTK), naik sebanyak 4.4 peratus pada Ogos 2026 berbanding Ogos 2025, dengan operasi antarabangsa mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Kapasiti yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer tersedia (ACTK) pula menyusut 0.1 peratus berbanding Ogos 2025, manakala kapasiti bagi operasi antarabangsa menokok 0.1 peratus.

Naib Presiden Kanan Kelestarian dan Ketua Ekonomi IATA, Marie Owens Thomsen berkata permintaan kargo udara melonjak 4.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos, dengan semua wilayah melaporkan pertumbuhan walaupun kapasiti dikurangkan sebanyak 0.1 peratus.

“Permintaan kukuh dan faktor muatan lebih tinggi membantu syarikat penerbangan menampung sebahagian daripada kos bahan api yang sangat tinggi.

“Hasil naik bulan ke bulan buat kali pertama sejak April, sementara pertumbuhan perdagangan barangan global terus berterusan. Kedua-duanya merupakan petanda positif memandangkan musim puncak akhir tahun semakin menghampiri," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Menurut IATA, beberapa faktor dalam persekitaran operasi perlu diberi perhatian, antaranya peningkatan enam peratus tahun ke tahun dalam perdagangan global pada Julai yang melanjutkan tempoh pengembangan bulanan berturut-turut kepada 33 bulan.

Sementara itu, IATA memaklumkan bahawa harga bahan api jet meningkat sebanyak 8.3 peratus bulan ke bulan pada bulan Ogos dan berada pada paras 79.2 peratus lebih tinggi berbanding setahun sebelumnya.

Aktiviti pembuatan global meningkat pada Ogos, dengan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Output Pembuatan Global naik 0.3 mata kepada 53.0, manakala Indeks Pesanan Eksport Baharu meningkat 1.4 mata kepada 51.4, kedua-dua petunjuk ini terus menyokong permintaan kargo udara.

Pada Ogos, syarikat-syarikat penerbangan di Asia-Pasifik mencatatkan kenaikan permintaan kargo udara sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun, manakala kapasiti berkembang sebanyak 1.2 peratus.

"Syarikat-syarikat penerbangan di Amerika Utara pula merekodkan pertumbuhan paling kukuh antara semua wilayah, dengan permintaan kargo udara meningkat 6.6 peratus tahun ke tahun pada Ogos. Bagaimanapun, kapasiti menyusut sebanyak 2.5 peratus.

"Dalam pada itu, syarikat-syarikat penerbangan di Eropah mencatatkan peningkatan permintaan kargo udara sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos, manakala kapasiti merosot sebanyak 3.5 peratus," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat penerbangan di Timur Tengah mencatatkan peningkatan permintaan kargo udara sebanyak satu peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos, iaitu pertumbuhan paling perlahan antara semua wilayah, kapasiti meningkat sebanyak 3.3 peratus.

"Prestasi kargo udara berbeza-beza merentas laluan perdagangan utama pada Ogos, dengan laluan Asia-Amerika Utara mencatatkan pertumbuhan paling kukuh, diikuti oleh laluan intra-Asia, Eropah-Amerika Utara dan Eropah-Asia," menurut IATA.

Sebaliknya, IATA menyataka bahawa koridor dikaitkan dengan rantau Teluk terus terjejas akibat konflik di Asia Barat.

-- BERNAMA