Dunia 30/09/2026 08:46 AM

Trump Arah Kerajaan Persekutuan Ganti Istilah ‘Artificial Intelligence’ Dengan ‘Super Intelligence’

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Trump Arah Kerajaan Persekutuan Ganti Istilah ‘Artificial Intelligence’ Dengan ‘Super Intelligence’
Presiden Donald Trump bercakap kepada pemberita di Rumah Putih di Washington pada Selasa, 29 September 2026, selepas mengadakan pertemuan dengan barisan eksekutif tertinggi firma AI (AP Photo/Alex Brandon)

WASHINGTON, 30 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan kerajaan persekutuan menggantikan istilah “artificial intelligence”, yang lazim disingkatkan sebagai “AI”, dengan “super intelligence” atau “SI” dalam komunikasi rasmi cabang eksekutif, lapor Anadolu Ajansi.

Perintah itu mengarahkan jabatan dan agensi persekutuan menggunakan istilah “super intelligence” dan “SI” dalam surat-menyurat rasmi, komunikasi awam, dokumen dasar serta bahan lain yang tidak bersifat perundangan.

Agensi berkenaan turut diarahkan supaya tidak lagi menggunakan istilah “artificial intelligence” dan “AI” dalam bahan terbabit. 

Perintah itu juga mengarahkan Pembantu Presiden bagi Sains dan Teknologi menyediakan cadangan definisi persekutuan bagi “super intelligence” dan “SI” yang mencerminkan “sempadan teknologi yang terus berkembang”.

Pegawai berkenaan turut ditugaskan mengenal pasti sebarang tindakan eksekutif tambahan yang diperlukan bagi melaksanakan definisi yang dicadangkan itu.

Rumah Putih berkata perubahan istilah berkenaan bertujuan mengiktiraf “peluang besar” yang ditawarkan oleh teknologi baharu.

Menurut pentadbiran itu, AS merupakan peneraju dunia dalam bidang “super intelligence” dan wajar menggunakan istilah yang mencerminkan keupayaan serta potensi teknologi yang sedang dibangunkan.

Pentadbiran Trump turut menyifatkan AS sebagai tempat kelahiran AI dan berkata negara itu menerajui pembangunan serta penggunaan teknologi berkenaan selama lebih 70 tahun sejak AI muncul sebagai satu bidang penyelidikan.

-- BERNAMA-ANADOLU