Am 30/09/2026 10:38 AM

Di Tangan Che Ann, Sekeping Kulit Lembu Menjadi Seri Rama Dan Hanuman

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Di Tangan Che Ann, Sekeping Kulit Lembu Menjadi Seri Rama Dan Hanuman
Gambar hiasan.

Wayang kulit adalah antara seni warisan yang kian malap, dan tidak mustahil jika suatu hari nanti persembahan teater bayang ini yang dahulunya begitu popular di pantai timur, utara dan selatan tanah air, akan tinggal sebagai catatan dalam dokumentasi sejarah negara.

Dalam laporan khas empat bahagian yang akan disiarkan dalam tempoh dua minggu berturut-turut, Bernama berkongsi naratif wayang kulit Kelantan, menyoroti usaha penggiatnya dalam mempertahankan seni itu termasuk minat dalam kalangan generasi lebih muda. 

 

 

Dalam persembahan wayang kulit, yang disaksikan penonton di layar putih cumalah bayang patung; digerakkan oleh tok dalang untuk menterjemahkan kisah-kisah seperti Hikayat Seri Rama bagi wayang kulit Kelantan, atau kisah-kisah setempat dalam wayang kulit Gedek.  

Akan tetapi, di sebalik bayang-bayang hitam itu adalah patung-patung pelbagai warna dengan setiap satu diukir dan dibentuk teliti oleh tukang yang lazimnya juga tok dalang.

“(Patung) watak-watak utama mempunyai banyak ukiran bunga dan corak halus yang tidak dapat dlihat oleh penonton. Untuk menghasilkan setiap patung bukan sahaja mengambil masa tetapi juga renyah. Orang Kelantan kata ‘boleh keluar putih mata’ kerana terlalu rumit dan perlukan fokus yang tajam,” dedah Kang Boon Ann, seorang penggiat wayang kulit Kelantan.

Lebih mesra dipanggil Che Ann, lelaki ini adalah antara segelintir Cina Peranakan di Kelantan yang masih aktif mempertahankan seni warisan yang lebih dekat dengan masyarakat Melayu itu. Uniknya, beliau turut melibatkan semua ahli keluarganya dalam seni tradisional tersebut di bawah naungan Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu. 

 

TIGA DEKAD

Jatuh cinta pada seni dan patung wayang kulit ketika berusia tujuh tahun, Che Ann, 58, sudah lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam pembuatan patung wayang kulit selain berperanan sebagai tok dalang Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu.

Berkongsi lanjut dengan Bernama ketika ditemui di bengkelnya di Kok Lanas di sini, Che Ann berkata  setiap patung wayang kulit mempunyai ribuan lubang halus yang ditebuk tangan dan merupakan “roh” setiap persembahan.

Maju Johor
Bagi Che Ann, usaha mengekalkan tradisi bermakna beliau perlu patuh pada "undang-undang" asal wayang kulit Kelantan yang ditetapkan tok dalang trdahulu.

Menurutnya, lubang-lubang halus berfungsi membenarkan cahaya menembusi badan patung dan seterusnya membentuk perincian wajah, corak pakaian, hiasan, malah sisik naga secara dramatik di atas layar putih yang dipanggil kelir.

Beliau berkata patung wayang kulit diperbuat daripada belulang lembu yang harus melalui beberapa proses sebelum kerja mengukir dapat dilakukan.

“Kita guna kulit lembut kerana sifat semula jadi bahan itu paling sesuai untuk membuat patung wayang kulit, terutamanya  bagi watak-watak utama. Kulit kambing pula terlalu nipis dan hanya sesuai untuk penghasilan watak sampingan yang bersaiz kecil.

“Kulit kerbau terlalu tebal, tetapi kulit lembu tidak terlalu tebal atau terlalu nipis. Oleh sebab itulah bahan ini paling sesuai,” jelasnya.

 

PROSES RENYAH

Menurut Che Ann, kulit lembu yang baru diterima dan masih segar perlu dikeringkan di bawah cahaya matahari sehingga benar-benar kering secara semula jadi. 

“Kalau cuaca betul-betul panas, proses mengeringkan kulit mengambil masa kira-kira sebulan. Selepas itu barulah bulunya dibuang secara manual sebelum corak watak mula dilakar pada permukaan kulit,” katanya.

Maju Johor
Peralatan yang digunakan mungkin nampak ringkas, namun setiap tebukan perlu dilakukan dengan cermat kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan corak ukiran.

Selepas lakaran siap, kerja yang paling menguji ketelitian dan kesabaran bermula.

Dengan hanya menggunakan paku pelbagai saiz dan tukul besi, Che Ann menebuk ribuan lubang kecil pada permukaan kulit bagi membentuk motif bunga, pakaian tradisional, mahkota serta pelbagai aksesori yang menjadi identiti setiap watak.

Peralatan yang digunakan mungkin ringkas, namun setiap tebukan perlu dilakukan dengan cermat kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan corak ukiran.

“Mesin moden memang boleh mempercepat kerja menebuk, tetapi estetika hasilnya tidak sama. Ukiran tangan secara manual mempunyai nilai, kehalusan dan ketelitian tersendiri yang tidak boleh ditiru oleh mesin,” jelasnya lagi.

Menurut Che Ann, tempoh menyiapkan sesuatu watak bergantung pada tahap kerumitan.

Katanya beliau mampu menyiapkan tiga watak ringkas seperti rakyat biasa atau pengasuh dalam sehari, namun untuk watak utama seperti Seri Rama atau elemen kompleks misalnya Pohon Beringin dan Istana, proses boleh mengambil masa hingga seminggu.

“Watak-watak utama ini mempunyai banyak ukiran bunga dan corak halus, jadi memerlukan sepenuh tumpuan,” ujarnya.

 

SETIAP WATAK PUNYA IDENTITI, FALSAFAH TERSENDIRI

Bagi Che Ann, mengekalkan tradisi bermakna patuh pada “undang-undang” asal wayang kulit Kelantan yang ditetapkan oleh tok dalang terdahulu. 

“Setiap watak ada identiti dan falsafah tersendiri. Kita tidak boleh langgar aspek ini. Misalnya, watak Seri Rama mesti warna hijau, manakala adiknya, Laksamana pula warna merah. Jika kita memandai-mandai tukar warna lain, penonton atau penggiat seni akan kata kita sudah lari daripada paksi watak asal,” katanya, menambah terdapat lebih 100 watak dalam dunia wayang kulit.

Maju Johor
Meskipun pasaran persembahan pentas bergerak perlahan, lain pula kisahnya dengan pasaran cenderamata dan pengumpul seni.

“Wayang kulit ini cerminan kepada realiti kehidupan manusia. Ada pemerintah, ada rakyat, ada golongan tua, ada orang muda serta watak protagonis dan antagonis. Semuanya mempunyai watak dan falsafah karakter masing-masing,” katanya.

Pun begitu, untuk watak sekunder, Che Ann bebas menggunakan kreativiti warna tersendiri.

“Tetapi kita masih kena hormat motif tradisi bagi memastikan identiti wayang kulit Kelantan tetap tulen apabila bayangnya terbias pada kelir putih,” ujarnya.

 

WATAK IKONIK JADI PILIHAN PENGUMPUL

Meskipun pasaran persembahan pentas bergerak perlahan, lain pula kisahnya dengan pasaran cenderamata dan pengumpul seni. 

Melalui publisiti yang konsisten termasuk demonstrasi pembuatan watak yang sering dipaparkan ketika siaran langsung di platform digital miliknya, tempahan patung wayang kulit sentiasa mengalir masuk.

Che Ann mendedahkan watak Seri Rama, Sita Dewi, Hanuman Kera Putih dan Rawana kekal menjadi watak paling laris dan kerap dicari oleh pelanggan.

“Kebanyakan orang membeli untuk dijadikan koleksi peribadi atau hiasan eksklusif di rumah atau galeri. Mereka menghargai nilai seni ukiran pada setiap watak tersebut,” katanya.

Menariknya, tempahan turut datang dari luar negara seperti Singapura dan Switzerland, yang menurut Che Ann, lazimnya melibatkan watak bersaiz kecil atas faktor logistik dan kemudahan untuk dibawa pulang menaiki kapal terbang.

Dari segi nilai komersial, watak bersaiz besar dan berstruktur rumit seperti istana dijual pada harga sekitar RM600 sepersalinan, manakala watak-watak lain berharga antara RM300 hingga RM550 seunit.

Meskipun sedar hasil seni kerja tangannya itu mampu mencecah nilai melebihi RM1,000 jika dijual di pasaran terbuka seperti Pasar Seni di ibu kota, Che Ann selesa mengekalkan harga mesra poket agar warisan ini kekal mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

 

CABARAN BAHAN MENTAH MODEN SEMAKIN DIRASAI

Di sebalik permintaan yang sentiasa ada, Che Ann mendedahkan cabaran yang dihadapi dalam memenuhi tempahan disebabkan oleh kekangan bahan mentah utama, iaitu kulit lembu.

“Lembu sekarang kebanyakannya diberi makan dedak komersial. Kesannya, kulit lembu menjadi terlalu berlemak, kurang tegap dan warnanya tidak begitu cerah apabila dikeringkan. Berbeza dengan lembu dulu yang makan rumput kampung secara semula jadi; kulitnya lebih bersih, cerah dan sangat sesuai untuk diukir,” keluhnya.

Maju Johor
Peralatan yang digunakan mungkin ringkas, namun setiap tebukan perlu dilakukan dengan cermat kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan corak ukiran.

Menurutnya, tekstur kulit yang berlemak menyukarkan proses menebuk lubang selain menyebabkan penyerapan warna cat menjadi kurang sekata. 

Tambah merumitkan, bekalan kulit lembu baka kampung semakin sukar dicari kerana pasaran kini dipenuhi baka lembu import bersaiz besar seperti Charolais yang mempunyai struktur kulit terlampau tebal.

“Kulit lembu kampung sekarang sangat berharga, kadang-kadang sebulan baru kita dapat sekeping,” katanya yang turut menjelaskan struktur istana yang besar memerlukan hampir separuh daripada keseluruhan saiz kulit lembu yang sempurna.

Biar tanpa bahan pengawet, patung wayang kulit ini mampu bertahan hingga puluhan tahun dengan satu syarat ketat, iaitu perlindungan daripada kelembapan.

“Pantang utamanya ialah air dan ruang lembap. Jika musim tengkujuh tiba, semua koleksi patung perlu dikeluarkan dari stor simpanan untuk dianginkan atau dijemur semula bagi mengelakkan serangan kulat yang boleh merosakkan tekstur belulang,” katanya.

 

MENGUKIR WARISAN UNTUK GENERASI BAHARU

Bagi Che Ann, perjuangannya sepanjang 30 tahun ini akan menjadi sia-sia jika kemahiran mengukir belulang itu mati bersama-samanya. Menyedari hakikat itu, beliau proaktif turun padang mengendalikan bengkel pembuatan patung wayang kulit di sekolah, universiti dan program agensi kebudayaan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Melalui pendedahan digital dan praktikal ini, masyarakat luar mula sedar bahawa wayang kulit bukan sekadar mainan patung di belakang layar, tetapi sebuah proses kraf warisan tinggi yang menuntut keringat penuh disiplin.

“Orang kita kata, tak kenal maka tak cinta. Tugas saya sekarang adalah memberikan mereka peluang untuk ‘kenal’ dahulu rupa bentuk proses pembuatannya. Bila mereka sudah cuba ketuk paku sendiri, baru timbul rasa hormat dan cinta pada seni ini,” katanya.

Selagi kudrat tangan masih mampu menggenggam tukul besi dan mata masih tajam menilik paku, Che Ann bertekad untuk tidak berhenti mengukir. 

Baginya, setiap lubang yang ditebuk pada kulit lembu adalah jaminan seni warisan wayang kulit Kelantan akan terus bernyawa untuk diwarisi generasi masa depan.