Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
NAGOYA, 29 Sept (Bernama) -- Tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi menyifatkan pencapaian satu emas dan satu perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai antara yang terbaik dalam kariernya, meskipun gagal melengkapkan misi emas berganda.
Syahir bersama Mohamad Azlan Alias dan Aidil Aiman Azwawi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 9-15, 8-15 kepada Thailand yang dibarisi Kritsanapong Nontakote, Wuttinun Kamsanor dan Tanaphon Sapyen pada aksi final acara regu di Paloma Mizuho Arena, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Thailand mempertahankan kejuaraan acara berkenaan, sekali gus memusnahkan hasrat kem takraw Malaysia untuk menutup kempen dengan dua pingat emas.
Bagaimanapun, Syahir melihat pencapaian keseluruhan kali ini sebagai satu perkembangan positif berbanding dua penampilan terdahulunya di Sukan Asia, yang menyaksikannya sekadar membawa pulang dua pingat perak.
"Alhamdulillah, bagi saya ini satu pencapaian yang agak baik untuk Sukan Asia ini sebab sebelum ini memang dua perak, dua perak, memang tidak pernah tukar warna.
"Untuk Sukan Asia kali ini kami berjaya tukar warna, satu emas. Itu pun orang cakap antara pencapaian terbaik dalam karier saya," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Jumaat lepas, Syahir membantu skuad negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan, selepas kali terakhir Malaysia memenangi acara itu pada Sukan Asia Beijing 1990.
Kejayaan tersebut menyemarakkan harapan untuk mengulangi pencapaian emas berganda yang pernah dilakar negara pada edisi Beijing 1990 menerusi kejuaraan regu berpasukan dan regu.
Namun, impian berkenaan tidak kesampaian apabila Thailand tampil lebih kemas dan berdisiplin dalam aksi final hari ini.
Mengulas kekalahan itu, Syahir mengakui skuad negara sudah memberikan segala-galanya, namun menganggap terdapat beberapa aspek kecil yang perlu diperbaiki, terutama dari sudut mental ketika berdepan Thailand.
"Kami sebagai satu pasukan, kami sudah buat sehabis baik dan ada benda-benda kecil yang kami kena beri perhatian.
"Dari segi psikologi, saya tengok Thailand memang betul-betul mahu menang hari ini dan kami cuba sehabis baik, sudah cuba macam-macam. Tetapi, hari ini rezeki Thailand," katanya.
-- BERNAMA