Am 20/09/2026 04:06 PM

Perdana Menteri Salur Bantuan Awal RM5,000 Kepada Mangsa Kebakaran Di Tambun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perdana Menteri Salur Bantuan Awal RM5,000 Kepada Mangsa Kebakaran Di Tambun
Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri (dua, kiri) bertanya khabar kepada anggota keluarga mangsa ketika membuat lawatan susulan kejadian kebakaran di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun hari ini.

IPOH, 20 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyumbangkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada keluarga mangsa kejadian kebakaran yang mengorbankan tiga sekeluarga di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, di sini awal pagi tadi.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri mewakili Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun kepada wakil keluarga Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad.

Mohamad Hairul Amir berkata bantuan berkenaan merupakan sumbangan awal bagi meringankan beban keluarga yang kini berdepan kehilangan tiga ahli keluarga dalam tragedi itu.

"Insya-Allah esok pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan datang untuk membuat penilaian dan kita akan cuba membantu dari segi baik pulih rumah serta sumbangan lain yang diperlukan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata pihak pusat berkenaan juga bersedia membantu menyediakan tempat tinggal sementara sekiranya keluarga mangsa memerlukan penginapan sepanjang proses baik pulih rumah berkenaan.

"Kalau kita lihat keadaan dalam rumah ini, mungkin proses baik pulih mengambil masa yang agak lama. Jadi, pihak pusat khidmat mungkin akan bantu menyediakan tempat untuk mereka berteduh sementara sehingga proses baik pulih selesai," katanya.

Mohamad Hairul Amir berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti bantuan yang sesuai untuk keluarga mangsa, termasuk kemungkinan mendapatkan khidmat kaunseling.

Beliau berkata pihaknya juga akan membantu urusan pengurusan jenazah kesemua mangsa.

Dalam pada itu, Mohamad Hairul Amir berkata Perdana Menteri menzahirkan salam takziah kepada keluarga mangsa serta meminta pihak pusat khidmat masyarakat membantu sebaik mungkin bagi membantu keluarga berkenaan.

Terdahulu, pasangan suami isteri warga emas dan cucu mereka maut dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan pada 4 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dan Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Raja Ahmad Raja Ali, 70, Zaitun Mohamed, 64, dan cucu mereka Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, manakala seorang mangsa Raja Ikhwan Hadi, 47, terselamat kerana dipercayai tidur di ruang parkir rumah berkenaan.

-- BERNAMA